Monday, February 28, 2011

Johor FC puas ikat Selangor

JOHOR BAHRU - Johor FC sepatutnya meraih tiga mata penuh ketika menentang Selangor dalam Liga Super kelmarin, jika berjaya memanfaatkan peluang gol di sepanjang perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, aksi di gelanggang sendiri di Stadium JCorp, Pasir Gudang, gagal dimanfaatkan sebaiknya oleh skuad muda Johor FC, biarpun berjaya mengawal permainan terutamanya pada babak kedua.

Namun pujian harus diberikan kepada skuad Lebah yang mempamerkan corak permainan menarik dan jelas dahagakan kemenangan, berbanding Selangor yang dilihat hanya bermain untuk mendapatkan satu mata sahaja.

Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan anak buahnya ketika berdepan skuad Red Giant yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sambil memuji persembahan barisan pemainnya yang beraksi tanpa kelibat bekas pemain kebangsaan, Eddie Helmi Abdul Manan yang masih dibelenggu kecederaan lutut, beliau berkata, ia adalah permainan terbaik dipamerkan anak buahnya musim ini.

"Kita memang bermain untuk menang malam ini dan sepatutnya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol jika pemain kita dapat menyempurnakan peluang gol, tetapi apakan daya kita tidak berbuat demikian dengan peluang yang kita hasilkan.

"Walau apa pun pun saya tetap berpuas hati dengan aksi mereka yang dilihat sudah memperoleh momentum yang baik, sekali gus memberikan semangat untuk mengharungi perlawanan seterusnya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurutnya, Johor FC akan mengekalkan rentak permainan yang sama apabila menentang Terengganu di tempat lawan esok.

Azuan berkata, perjalanan skuadnya masih jauh dan beliau yakin barisan pemainnya mampu mencatatkan lebih banyak kemenangan pada perlawanan akan datang meskipun gagal beraksi baik di awal musim.

Johor FC bermula hambar apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan pembukaan menentang Felda United di tempat sendiri dan tewas 0-1 serta 1-4 masing-masing semasa menentang Perak dan Kelantan pada aksi di tempat lawan.

Namun, skuad Lebah mula menunjukkan peningkatan apabila mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Sabah 1-0 pada perlawanan keempat di Stadium Likas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...