Friday, February 18, 2011

Pusingan pertama Piala FA buka gelanggang hari ini

SAINGAN pusingan pertama Piala FA akan menyingkap tirainya, hari ini dengan dua perlawanan membabitkan Harimau Muda A dan SDM Navy, serta T-Team dan Kelantan berlangsung serentak di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu. 

Selepas penyandang juara, Negeri Sembilan tumbang kepada Felda United dalam kancah Liga Super, Selasa lalu, saingan Piala FA kali ini membayangkan pasukan negeri tidak lagi boleh memandang rendah kehadiran kelab-kelab musim ini.



Ketika Selangor mengungguli sejarah pertandingan dengan lima kali muncul juara dan dua kali naib juara sejak 1990, belum pernah sekali pasukan kelab berjaya menembusi tembok perlawanan final Piala FA.
Namun, keadaan tampak berbeza kali ini dengan tiga pasukan kelab - Felda United dan PKNS dilihat sebagai pasukan yang mampu membuat kejutan mencatat sejarah baru kejohanan dengan mara ke final. 

Felda United dikendali E Elavarasan antara pasukan Liga Super yang berpotensi memecah tradisi kejohanan, dengan rekod dua kemenangan daripada empat perlawanan liga setakat ini, termasuk kejutan menewaskan Negeri Sembilan di Paroi walaupun beraksi dengan 10 pemain. 

Felda yang diperkuat beberapa pemain berpengalaman antaranya Liew Kit Kong, Mohd Nizaruddin Yusof, Farderin Kadir dan Mohd Hamsani Ahmad dijangka mampu menjadi pemusnah kepada beberapa pasukan negeri dalam saingan kalah mati ini. 

Felda akan memulakan aksi pusingan pertama esok, bertemu Perlis di Stadium Utama, Kangar, manakala PKNS melayan kunjungan MP Muar di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Antara perlawanan menarik lain ialah Pahang bertemu Sabah di Stadium Darulmakmur, Kuantan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...