Thursday, February 17, 2011

Selangor tak tandus penyerang

Ramai pemain boleh isi tempat Safee yang berpindah ke Indonesia 

PERPINDAHAN Safee Sali kini sudah boleh dilupakan oleh juara bertahan Liga Super, Selangor yang tampak sudah mampu berdikari tanpa kehadiran penyerang prolifik mereka itu.



Jurulatih K Devan berkata, walaupun tanpa Safee, Selangor membuktikan mereka masih mampu mencatat kemenangan ke atas Terengganu kelmarin, malah dengan jumlah jaringan paling banyak pernah dicatatkan oleh mereka setakat ini.
“Seperti yang saya katakan dulu, Selangor tidak ketandusan penyerang dan mempunyai beberapa pemain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Safee dan terbukti malam ini (kelmarin), pemain yang diturunkan mampu memikul tugas dengan baik,” katanya. 

Devan menurunkan gandingan Fadzli Saari dan Amri Yahyah sebagai tonggak serangan dan gandingan itu masing-masing menyumbang satu gol untuk membantu kemenangan 3-1 ke atas Terengganu. 

Kemenangan di Stadium Shah Alam kelmarin juga adalah kemenangan pertama dicatatkan oleh The Red Giants di gelanggang sendiri musim ini dan Devan menyifatkan skuadnya sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih besar andai tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh. 

Keadaan itu katanya, terutama disebabkan oleh beberapa pemain belum cergas sepenuhnya selepas kembali daripada kecederaan selain pertukaran posisi pemain yang menyaksikan mereka belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. 
“Sebagai contoh Azidan Sarudin baru kali pertama bermain sepenuh masa, Hardi Jaafar terpaksa bermain di posisi kanan dan kiri berbanding posisi tengah kebiasaannya, manakala Bunyamin Omar yang bermain di bahagian kanan baru pulih daripada kecederaan,” katanya. 

Sementara itu, jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim berkata, kekalahan Terengganu yang juga kekalahan pertama mereka musim ini berpunca daripada kegagalan anak buahnya melancarkan serangan berkesan. 

“Bagi saya, aksi Terengganu malam ini (kelmarin) adalah yang terburuk dan pemain sayap gagal membantu serangan dan melakukan umpanan seperti yang sering mereka lakukan sebelum ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...