Wednesday, February 16, 2011

Selangor tetap gah tanpa Safee Sali

Pemain Perlis, Mohamad Hisyam (kiri) mengasak pemain Harimau Muda A, K. Gurusamy dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1.


KUALA LUMPUR - Tanpa Safee Sali, tiada masalah. Selangor masih berupaya mencatat kemenangan berharga 3-2 ke atas pencabar utama Liga Super, Terengganu dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Shah Alam, semalam.
Bekas pemain kebangsaan, Fadzli Saari membuka tirai jaringan Red Giants pada minit ke-17 selepas menerima hantaran voli cantik daripada Mohd. Hardi Jaafar sebelum Amri Yahyah menambah gol kedua pada minit ke-46 melalui tandukan.

Muka baru Selangor, Azidan Sarudin mengukuhkan kedudukan Selangor pada minit ke-56 menerusi rembatan kencang dari jarak 20 meter namun Terengganu memperoleh gol pembakar semangat hasil sepakan penalti yang diambil Ashari Samsudin pada minit ke-69.

Biarpun Abdul Hadi Yahya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat Terengganu menghalang Selangor daripada meraih kemenangan kedua musim ini.

Kelantan terus kekal di tangga teratas liga dengan kemenangan 2-0 ke atas skuad warga kota, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.
Mohd. Ramzul Zahini meledakkan gol pertama pada minit ke-47 selepas mendapat hantaran Mohd. Badri Md. Radzi.

Tonggak kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melengkapkan kemenangan mutlak Red Warriors yang mudah menewaskan Norazlan Razali pada minit ke-87 melalui rembatan leret.

Di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPBJ), Gary Steven Robbat muncul penyelamat Harimau Muda A apabila golnya pada minit ke-90 berjaya mengikat Perlis 1-1 dalam perlawanan yang dicemari dua kad merah. Perlis terlebih dahulu di hadapan menerusi Mohd. Faiz Subri pada minit ke-74.
Johor FC akhirnya berjaya merakamkan kemenangan pertama dalam kempen Liga Super musim ini selepas menundukkan Sabah 1-0 di Stadium Likas hasil jaringan Mohd. Riduwan Ma'on pada minit ke-55.

Gol daripada pertahanan Felda United, Abdul Ghani Abdul Rahman pada minit ke-87 ternyata mengejutkan juara Piala FA, Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi penuh menghambarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad kendalian Dollah Salleh, Pahang terus membuatkan T-Team merana apabila menang 1-0 di Stadium Darul Makmur hasil jaringan tunggal Zaiza Zainal Abidin pada minit ke-4 sementaraKedah dan Perak sekadar terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Aman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...