Saturday, February 19, 2011

Singa Utara idam tebus kehampaan berdepan FELDA

BIARPUN sedar bukan mudah, Perlis tetap mengimpikan kemenangan bergaya apabila berdepan FELDA United pada aksi pusingan pertama Piala FA 2011 di Stadium Utama Negeri Kangar, malam ini. 

Ketua jurulatih Mosthakeen Omar berkata, kemenangan di laman sendiri pada pusingan kalah mati itu cukup penting dalam merealisasikan sasaran melangkah jauh dalam kempen musim ini.



“Oleh kerana perlawanan dijalankan secara kalah mati, kami tidak mempunyai pilihan kecuali menang andai mahu melihat obor perjuangan pasukan terus menyala dalam saingan Piala FA musim ini.
“Begitupun, kita akui ia bukan tugas mudah kerana lawan juga sebuah pasukan kuat, dibarisi ramai pemain berpengalaman dan bekas bintang,” katanya. 

Bekas tonggak tengah Kedah dan kebangsaan pada awal 1980-an itu berkata, biarpun aksi dalam kempen Liga Super setakat ini kurang memberangsangkan dengan hanya satu keputusan seri selepas empat perlawanan, ia tidak menjejaskan semangat pemain. 

Sebaliknya, kejayaan mengikat skuad Olimpik negara, Harimau Muda A pada aksi terakhir liga Selasa lalu, menyuntik keyakinan kepada pemain. 

“Saya mengingatkan pemain supaya jangan terlalu memikirkan kehebatan dan kelebihan lawan, sebaliknya memberi persembahan terbaik dengan meminimumkan kesilapan dan memanfaatkan peluang jaringan,” kata Mosthakeen yang kehilangan dua pemain - Muhamamad Munawar Shavukath Ali dan Mohd Sany Mat Isa - kerana penggantungan perlawanan. 
Kehadiran semula Phul Sakh Lum dan Mohd Hafiszuan Salehuddin yang digantung sebelum ini, diharap memantapkan semula Singa Utara yang amat berharap mendapat sokongan peminat setia dalam kempen pertama Piala FA itu. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...