Thursday, February 17, 2011

T-Team terus hambar Yunus belum mahu panik

KUALA LUMPUR - Apa yang tidak kena buat skuad T-Team? Biarpun dibarisi ramai tonggak berpengalaman, mereka masih gagal mencapai sebarang kemenangan selepas empat perlawanan dengan hanya mampu mengutip satu mata.

Kekalahan kali ketiga kepada Pahang 0-1 di Stadium Darul Makmur, kelmarin jelas menimbulkan tanda tanya kepada para peminat T-Team ke mana haluan sebenar pasukan kelab dari Pantai Timur itu dalam mengharungi saingan Liga Super musim ini?

Paling parah, skuad bimbingan Yunus Alif itu kini terperosok di tangga kedua terakhir Liga Super hanya dibezakan dengan jaringan gol pasukan tangga tercorot, Perlis yang turut mengutip satu mata.

Walaupun begitu, jurulatih T-Team, Yunus Alif jelas tidak mahu menekan butang panik terlalu awal sambil menyifatkan tuah sebenarnya masih belum memihak dan tetap yakin kelab dari Pantai Timur itu akan menamatkan kemarau kemenangan dalam perlawanan akan datang.

''Dari segi persembahan, kami tidak mempunyai sebarang masalah besar kerana semua pemain dilihat cukup serasi antara satu sama lain.
''Cuma apabila sampai di depan gol, penyudah yang diharapkan tidak menjadi dan dipendekkan cerita, rezeki masih belum memihak kepada kami biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.

''Selain itu, saya dapati ada di kalangan pemain cepat berasa tertekan tambahan kita terpaksa beraksi empat kali di gelanggang lawan, " katanya.
T-Team hanya mengutip satu mata ketika seri tanpa jaringan dengan Kedah pada perlawanan sulung Liga Super sebelum kalah tiga kali berturut-turut kepada Negeri Sembilan, Harimau Muda A dan Pahang.

Ditanya adakah penumpuan media yang terlalu berlebihan kepada T-Team pada awal musim memberikan tekanan kepada pemainnya, Yunus tidak menafikan ia serba sedikit memberi kesan.

''Kedatangan trio Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad memang membuatkan ramai menyangkakan skuad ini sudah terlalu kuat.

''Ia jelas membuatkan ramai pemain berasa sedikit agak tertekan untuk memenuhi jangkaan pemerhati bola sepak dan memberikan sedikit kesan kepada persembahan mereka," katanya yang mahu anak-anak buahnya bangkit ketika bertemu Kelantan dalam aksi Piala FA, Sabtu ini.

Yunus turut menambah, dia berharap jentera serangan T-Team akan kembali mempamerkan perwatakan sebenar dan tidak berasa terlalu gopoh ketika mahu melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan.

''Ini salah satu kelemahan ketara yang saya kesan pada perlawanan menentang Pahang, mungkin mereka berasa tertekan tetapi itu yang harus dielakkan jika kita mahu menang, " ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...