Monday, February 28, 2011

Wan Jamak ‘gelisah’ ragam NS

‘Prestasi skuad Rusa belum mencapai tahap keupayaan sebenar’

SEKALIPUN berjaya meraih kemenangan ke atas Sabah dalam pertemuan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin, namun prestasi dipamerkan kesebelasan utama Negeri Sembilan belum mencapai tahap keupayaan sebenar. 

Ini diakui ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang merumuskan betapa masih banyak kelemahan perlu diperbaiki apabila anak buahnya terpaksa menunggu sehingga minit ke-76 mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk meraih tiga mata berharga.

Menurutnya, kelemahan itu antaranya hantaran yang kurang tepat dan jentera barisan depan yang belum begitu mantap harus segera diperbaiki bagi memastikan misi meneruskan kemenangan tidak terjejas menjelang saingan Piala FA menentang Kuala Lumpur di Paroi, Jumaat ini.
“Jika mengambil kira keseluruhan persembahan malam ini (kelmarin), saya dapati pemain belum menyerlahkan kehebatan sebenar apabila banyak gerakan kurang menjadi malah barisan depan juga perlu digilap untuk memastikan kemantapan menjelang cabaran akan datang. Ketiadaan pemain utama Mohd Shukor Adan dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin memberi kesan ketara kepada kekuatan pasukan. 

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana pasukan mencapai kemenangan dan matlamat kita untuk mendapatkan tiga mata berharga berhasil sekali gus mengembalikan semula maruah pasukan selepas mencatat dua kekalahan sebelum ini,” katanya selepas perlawanan malam kelmarin. 

Penyerang berpengalaman, Hairuddin Omar berjaya menyelamatkan maruah Negeri Sembilan apabila sepakannya selepas menerima hantaran silang pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang beraksi buat kali pertama musim ini, terkena palang sebelum menerjah jaring sekali gus menewaskan penjaga gol Sabah, Azizon Abdul Kadir. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...