Sunday, March 27, 2011

Eksperimen positif - Rajagobal

KUALA LUMPUR - Malaysia terlepas peluang meneruskan rentak kemenangan sejak kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu, namun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengikat juara Liga Singapura (Liga-S), Etoile FC 1-1 dalam perlawanan yang menyaksikan jurulatih, K. Rajagobal menguji hampir kesemua pemainnya di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua buat skuad Harimau Malaya sejak menjuarai Piala AFF.

Perlawanan pertama menentang Hong Kong, bulan lalu berakhir dengan kemenangan 2-0.

Biarpun mencatat kemenangan selepas mendahului menerusi Ahmad Fakri Saarani seawal minit ketujuh, namun anak-anak buah Rajagobal meraih pengalaman berguna berdepan pemain-pemain Etoile yang memiliki fizikal dan corak permainan berbeza, apatah lagi mereka adalah kelab Perancis yang berorientasikan permainan Eropah.

"Keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain negara, terutama peluang menguji ramai pemain. Mungkin kerana melakukan banyak pertukaran ia menganggu sedikit rentak permainan tetapi yang penting kita berjaya mendapat ujian yang bagus.

"Semua pemain mempamer persembahan dan komitmen yang baik, termasuk pemain gantian, ini perkara paling positif buat skuad negara. Saya fikir, kita kena lebih banyak beraksi dalam perlawanan seperti ini untuk mendapat pengalaman baru kerana corak permainan dan fizikal Etoile yang berasal dari Perancis berbeza dengan corak permainan kita,'' kata Rajagobal ketika ditemu bual oleh Astro Arena, semalam.

Gol pembukaan Malaysia berpunca menerusi sepakan sudut pendek Mohd. Syafiq Rahim kepada Mohd. Asraruddin Putra Omar yang kemudian melakukan hantaran tinggi untuk Ahmad Fakri menewaskan penjaga gol lawan, Antonin Trilles.

Biarpun membuka jaringan awal, namun kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya hampir membawa padah apabila Jonathan Tolo yang tidak dikawal melepaskan tandukan pada minit ke-18, namun tandukannya tersasar dan pada minit ke-27 rembatan Kevin Lefranc hanya menyentuh tepi jaring gol negara.

Rajagobal melakukan tiga pertukaran pada awal separuh masa kedua, termasuk mengeluarkan Khairul Fahmi untuk digantikan dengan Sharbinee dan dia bertindak cemerlang pada awal saingan apabila menepis rembatan cantik Sinira Camara minit ke-49.

Babak kedua berlangsung lebih menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, Malaysia terdahulu beroleh peluang menerusi gerakan dari sebelah kanan Mohd. Amirul Hadi Zainal tetapi Salim Kaabi pantas menyekat pergerakannya, namun pada minit ke-62 kelonggaran bahagian tengah dan pertahanan Malaysia membenarkan Etoile menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Hicham Bouchemial yang merembat bola menewaskan Sharbinee buat kali pertama.

Benteng pertahanan Malaysia longgar dan hampir dibolosi sekali lagi pada minit ke-65, mujur sepakan Stan Fougeroud tersasar tinggi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...