Saturday, March 19, 2011

Felda United buru kemenangan mutlak

BERTAHAN selama 90 minit bukan pilihan jurulatih E Elavarasan untuk memastikan skuad bimbingannya, Felda United melepasi halangan suku akhir kedua Piala FA menentang Kelantan malam ini.
Beliau berkata, anak buahnya tidak akan turun bermain di Stadium Sultan Mohamad IV hanya untuk mempertahankan kedudukan agregat 2-2 selepas aksi pertama Selasa lalu bagi melayakkan diri ke separuh akhir menerusi kelebihan gol di tempat lawan sebaliknya bersedia memburu kemenangan mutlak.

Biarpun terpaksa beraksi di Kota Bharu dalam kedua-dua perlawanan suku akhir berikutan gelanggang mereka, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras ditutup sementara, Elavarasan menganggap peluang Felda United menundukkan gergasi pantai timur itu kini seimbang.


“Kami tidak mempunyai kelebihan kerana kedua-dua perlawanan berlangsung di Kota Bharu, tapi selepas perlawanan pertama pemain saya sudah memiliki pengalaman bukan saja berdepan pemain Kelantan sebaliknya sokongan padu penyokong lawan di Kota Bharu.

“Kalau kami sekadar bertahan dan mendapat keputusan seri 0-0 kami akan layak, tapi bukan mudah untuk bertahan selama 90 minit di Kelantan. “Kami tahu Kelantan pasti akan menyerang habis-habisan jadi pemain pertahanan perlu fokus dan kami juga perlu menyerang.


“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan untuk layak masih 50-50 dan pasukan mana yang boleh menjaringkan gol awal pasti mendapat kelebihan,” katanya.


Pada perlawanan suku akhir pertama Selasa lalu, Felda berjaya mengikat kedudukan 2-2 selepas bekas pemain sayap kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan gol penyamaan lewat permainan selepas Kelantan mendahului menerusi gol Badri Radzi dan Norshahrul Idlan Talaha.

Felda sebelum itu membuka tirai jaringan menerusi tandukan Zamri Chin pada babak pertama.



Mengulas mengenai barisan pemainnya malam ini, Elavarasan berkata, tiada rombakan yang ketara akan dilakukan dalam skuad utamanya selain akan menurunkan bekas pemain tengah kebangsaan, Azi Sharil Azmi yang kembali pulih daripada kecederaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...