Saturday, March 19, 2011

Felda Utd buru jaringan awal

Elavarasan anggap peluang dengan Kelantan seimbang

KELANTAN mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri walaupun dilabel pelawat tetapi FELDA United yang hadir selaku tuan rumah di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV malam ini, berpeluang mara ke separuh akhir kerana membawa bekalan dua gol dari tempat lawan. 

Berdasarkan situasi berkenaan, perlawanan malam ini bakal menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mencuri salah satu daripada empat tempat di pusingan seterusnya, selepas seri 2-2 pada aksi suku akhir pertama di gelanggang sama, Selasa lalu.



“Peluang 50-50,” kata jurulatih FELDA United, E Elavarasan. “Berdasarkan pengalaman pada aksi perlawanan lalu, siapa yang mendapat jaringan awal kali ini akan memperoleh kelebihan untuk mara.
“Walaupun kami turun sebagai tuan rumah, ia tidak membawa banyak perbezaan kerana perlawanan diadakan di gelanggang sama. Sudah tentu Kelantan mempunyai kelebihan bermain di depan penyokong setia yang mampu memberi inspirasi kepada pemain.” 

Dalam perlawanan pertama, skuad Datuk M Karathu dikejutkan dengan gol pembukaan FELDA hasil jaringan Mohd Zamri Chin pada minit ke-31, tetapi tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi kapten, Mohd Badri Radzi. 

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-70, tetapi tatkala keadaan memihak Red Warriors, Liew Kit Kong hadir menghampakan tuan rumah dengan gol penyamaan pada masa tambahan menerusi sepakan penalti. 

Ketika ditanya, adakah faktor penyokong sebagai punca pasukannya gagal mengekalkan kedudukan selepas mendahului pada babak pertama, Elavarasan menjawab: “Ia bukan masalah kepada pemain tetapi saya akui ia membuatkan pemain Kelantan lebih bersemangat.” 
Elavarasan juga akur dengan hakikat Kelantan mempunyai kelebihan berbanding FELDA United, terutama dengan kehadiran dua tonggak kebangsaan, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang Norshahrul yang mampu bergerak solo untuk menghasilkan gol. 

“Namun saya yakin jurulatih Kelantan juga menyedari cabaran yang mampu diberikan FELDA United dan tentunya pada perlawanan esok (hari ini), dia akan lebih berhati-hati,” kata Elavarasan yang memilih berkampung di Terengganu selepas perlawanan Selasa lalu untuk melatih anak buahnya. 

“Saya pasti Kelantan akan turun dengan penuh keyakinan tetapi kami tidak akan berdiam diri dan membiarkan perjalanan FELDA United dalam saingan Piala FA, terhenti setakat pusingan ini.” 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...