Wednesday, March 30, 2011

Kita harus realistik: Rajagobal

Skuad Harimau Malaya masih muda, perlu muncul gergasi Asia dulu 

DEBARAN buat dua pengendali - K Rajagobal dan Ong Kim Swee - akan berakhir apabila undian pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 dilakukan di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), hari ini.



Skuad Piala Dunia kendalian Rajagobal akan diundi bertemu salah satu daripada pasukan berikut - Afghanistan, Kemboja, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Vietnam, Mongolia, Pakistan, Palestin, Timor-Leste, Macau, Taiwan, Myanmar, Filipina atau Laos.
Bagi Kim Swee, cabaran lebih besar menunggu skuad Olimpik apabila bakal diundi bertemu salah satu daripada 12 pasukan terbaik Asia - Korea Selatan, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Syria, Lubnan atau Uzbekistan. 

Bagi Rajagobal, walaupun reputasi dan harapan diletakkan ke atas skuad kendaliannya cukup tinggi, dia mahu terus berpijak di bumi nyata dengan hanya meletakkan sasaran ke Piala Asia 2015 sebagai sasaran utamanya. 

“Saya tahu ramai yang mula mengimpikan Malaysia beraksi di Piala Dunia selepas menang Sukan Sea dan Piala AFF, tetapi kita harus realistik dalam meletakkan sasaran,” kata Rajagobal. “Saya tidak kata pasukan negara tidak mampu layak, tetapi hanya sasarannya perlu realistik. 

“Untuk beraksi di Piala Dunia, kita perlu membuktikan kejaguhan kita di peringkat Asia terlebih dulu. Barisan pemain negara yang menjuarai Piala AFF tahun lalu sebenarnya masih muda dan perjalanan mereka masih jauh. 
Bagi Kim Swee pula, dia hanya akan melakukan sebaik mungkin untuk melepasi pusingan kedua kelayakan nanti. 

“Apa pun keputusan undian, lawan negara tetap pasukan terbaik Asia,” kata Kim Swee. “Apa yang boleh saya lakukan ialah merancang persiapan dengan rapi bagi menghadapi pasukan ini. Baik Jepun, Australia atau Korea, pendekatan berbeza perlu diambil sekiranya mahu mengatasi mereka.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...