Wednesday, March 23, 2011

Liverpool, Chelsea uji kemampuan Harimau Malaya, Julai

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kelab terkemuka Liga Perdana England (EPL), Liverpool dan Chelsea akan mengadakan perlawanan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Julai ini.

Selain Liverpool dan Chelsea, sebuah lagi kelab dari EPL turut memilih Malaysia sebagai gelanggang untuk perlawanan pra-musim itu, namun identiti pasukan ketiga itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia difahamkan ialah pasukan Arsenal.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan daripada kedua kelab tersebut dan tarikh perlawanan akan diumumkan pada masa akan datang.

"Setakat ini, Liverpool dan Chelsea telah mengesahkan kehadiran masing-masing dan pasukan ketiga akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Ini adalah pertama kali kelab Liverpool datang ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan setelah membatalkan pertemuan dengan pasukan Selangor pada 2008.

Sementara itu, pasukan The Blues pernah menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia pada 2008.

FAM masih lagi meneruskan usaha mengatur perlawanan persahabatan berkelas A biarpun sebelum ini berkesudahan dengan Harimau Malaya hanya akan menentang pasukan berstatus kelab iaitu FC Etoile dari Liga Singapura.

Azzudin berkata, ia bertujuan mengisi kekosongan jadual pada April dan Mei dan FAM sedang berusaha menghubungi pasukan-pasukan kebangsaan sekitar Asia bagi memohon mengadakan perlawanan dengan mereka.

"Setiap bulan para pemain skuad Harimau Malaya akan dihimpunkan untuk menjalani latihan berpusat dan kami mengharapkan sekurang-kurangnya mereka bermain satu perlawanan persahabatan.

"Untuk bulan Mac ini, FAM sudah mencuba lapan persatuan namun atas komitmen masing-masing, permohonan kita ditolak... tetapi kami tetap teruskan usaha mendapatkan perlawanan berkualiti untuk Harimau Malaya," katanya.

Tambah Azzudin, skuad kendalian K. Rajagobal akan bertandang ke Hong Kong pada 3 Jun depan untuk satu lagi perlawanan persahabatan dengan negara Asia Timur itu.

Ia merupakan perlawanan kedua di antara kedua-dua pasukan selepas Malaysia membenam Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam pada aksi persahabatan 9 Februari lalu.

"FAM sudah membuat perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) bahawa kita akan ke Hong Kong untuk perlawanan timbal balik, jadi untuk Jun, kita tidak perlu risau, malah Harimau Malaya juga akan beraksi dalam pusingan kedua kelayakkan Olimpik," jelasnya.

Malaysia akan mengetahui siapakah lawannya pada undian akan dijalankan pada 30 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...