Tuesday, March 29, 2011

Program motivasi pulih semangat pemain NS

SELEPAS menamatkan program motivasi tiga hari di Pahang, skuad Negeri Sembilan yang dibimbing ketua jurulatih baru, Mohd Azraai Khor Abdullah dilihat semakin yakin untuk bangkit sebaik saingan Liga Super kembali bersambung Sabtu ini.
Menurut Azraai, ada perkembangan positif dari segi persefahaman dan keyakinan setiap pemain selepas mengikuti program itu dan latihan yang mula dikendalikannya sejak Jumaat lalu.

Katanya, pihaknya yakin perkembangan memberangsangkan itu bakal memberi petanda positif untuk Negeri Sembilan kembali kepada reputasi sebenar selaku pencabar terkuat saingan domestik itu.


“Alhamdulillah, matlamat mengadakan program motivasi bertujuan untuk memupuk persefahaman dan meningkatkan lagi semangat berpasukan tercapai dan saya menaruh harapan tinggi agar ia memberi kesan positif ke arah membawa pasukan ke landasan kemenangan sebaik saingan Liga Super bersambung Sabtu ini.

“Saya yakin pasukan memiliki ramai pemain berwibawa ini mampu membuktikan keupayaan untuk mengenepikan rekod kurang baik yang dipamer sebelum ini kepada prestasi membanggakan dengan kemenangan,” katanya.


Bekas pengendali pasukan Harimau Muda A dan Kedah itu berkata, pihaknya juga puas hati terhadap peningkatan prestasi penyerang, Ahmad Fakhri Saarani yang sudah mula menunjukkan keupayaan menjaringkan gol dan berharap dia membuktikan kemampuannya itu pada aksi bertemu Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.



Azraai bagaimanapun mengakui persiapan untuk menampilkan barisan terbaik pada ujian pertama sebaik mula mengendalikan skuad itu 22 Mac lalu agak terjejas berikutan masalah kecederaan membelenggu Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...