Monday, March 28, 2011

Rombakan nilai kombinasi terbaik

KEPUTUSAN seri 1-1 yang dicatat pada aksi persahabatan menentang Etoile FC nyata tidak menjejaskan moral pemain sebaliknya jurulatih K Rajagobal bertindak melakukan rombakan besar-besaran di babak kedua kerana mahu memberi peluang kepada pemain simpanan.
Rajagobal yang ditemui selepas aksi persahabatan menentang kelab dari Perancis selaku penyandang juara Liga Singapura (Liga S) di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin berkata, pertukaran di babak kedua amat perlu bagi menilai tahap pemain sama ada sudah bersedia beraksi untuk skuad kebangsaan.

Sambil mengulas aksi 90 minit perlawanan, jurulatih kebangsaan itu tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya biarpun mengakui masih ada kelemahan terutama di babak pertama dan kedua sehingga mudah buat pasukan lawan menguasai perlawanan.


“Jika saya tidak lakukan pertukaran, pasti tiada pendedahan diperoleh muka baru yang saya panggil seperti Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Azidan Sarudin.

“Lagipun perlawanan itu diadakan hanya malam tadi (kelmarin) dan bukannya timbal-balik dan jika perlawanan dibuat timbal-balik, pasti saya tidak buat pertukaran besar.


“Saya cuba mencari kombinasi terbaik bagi membuat persiapan rapi menjelang kelayakan Piala Dunia 2014, Jun ini dan berharap lebih kerap aksi persahabatan diadakan sebelum beraksi dalam perlawanan kompetitif,” katanya.




Pasukan Harimau Malaya yang menewaskan Hong Kong, 2-0, Februari lalu mempamerkan aksi terbaik selepas mencipta jaringan pada minit keenam hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani.

Namun, percubaan anak didik Rajagobal yang mengimpikan rekod bersih dalam dua perlawanan persahabatan tidak kesampaian selepas Etoile FC mencipta gol penyamaan pada minit ke-62 hasil rembatan Hicham Bouchemlal dari luar kotak penalti.


“Saya sudah nilai dan lihat sendiri aksi permainan pemain negara dan tidak nafikan pemain baru dan yang sudah beraksi dengan skuad kebangsaan yang memiliki usia purata bawah 24 tahun mampu menerbitkan fenomena baru bola sepak negara,” kata Rajagobal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...