Tuesday, March 22, 2011

‘Saya bukan punca Kedah merudum’

PEMANGKU Jurulatih skuad Liga Super Kedah, Radhi Mat Din menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau dalang utama di sebalik kejatuhan pasukan Hijau Kuning, musim ini. 

Radhi yang juga bekas kapten Sang Kenari berkata, dakwaan beberapa pihak mengatakan beliau adalah perancang utama strategi pasukan Kedah berbanding Ketua Jurulatih, Ahmad Yusof juga adalah tidak benar. 

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah dan menjelaskan kehadirannya dalam skuad Hijau Kuning sebagai menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). 

“Saya tidak tahu siapa yang keluarkan andaian seperti itu tetapi perkara ini tidak benar sama sekali. Saya hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, tidak lebih dari itu. 

“Saya tidak faham mengapa ada pihak yang cuba mengeluarkan fitnah seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Berikutan permulaan buruk Kedah dalam Liga Super selain terkeluar daripada kempen Piala FA, peminat fanatik Hijau Kuning mendesak supaya barisan jurulatih dan pengurusan pasukan dirombak. 

Selain itu, timbul khabar angin mengatakan Radhi dalang utama mengatur formasi pemain berbanding Ahmad sehingga menjejaskan reputasi pasukan. 

Sementara itu, Radhi mengakui pernah mengikuti kursus kejurulatihan namun tidak sempat menamatkannya kerana terpaksa kembali ke Kedah untuk membantu memantapkan skuad Kenari. 

“Saya hanya sempat mengikuti kursus terbabit selama dua minggu sahaja kerana mahu membantu Kedah menghadapi kempen Piala FA. 

“Kerana itulah saya tidak menghabiskan ujian teori dan praktikal bagi mendapatkan lesen kejurulatihan,” katanya. 

Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan itu turut kesal dengan tuduhan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja tidak mahu mengambil lesen jurulatih dan terus berselindung dalam jawatan yang disandangnya kini. 

Beliau berkata, dalam situasi ini penyokong Hijau Kuning sepatutnya terus memberi semangat kepada pasukan dan bukannya mengecam hingga mencetuskan keadaan yang lebih tegang. 

“Kalau menang semua orang gembira, bila kalah ada sahaja masalahnya. 

“Kalau betul-betul berjiwa penyokong, kita sepatutnya memberi semangat ketika prestasi Kedah menurun,” katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...