Wednesday, March 30, 2011

Tak harap undian nasib

KUALA LUMPUR - Di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini, segala persoalan mengenai pasukan mana yang akan menjadi lawan skuad bola sepak negara pada kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 akan terjawab dengan kertas undian bakal menterjemahkan segala-galanya.

Skuad kebangsaan yang masih dibuai dengan kejayaan gemilang menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama Disember lalu, kini perlu berdepan realiti untuk mengharungi cabaran lebih getir di peringkat Asia.

Walaupun lawan yang akan ditentukan pada hari ini adalah sekadar pertemuan pusingan pertama Piala Dunia, terdapat beberapa pasukan yang dilihat mampu memberikan kesulitan besar kepada Harimau Malaya seperti Vietnam, Palestin dan Myanmar.

Namun dibenak fikiran pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal, tiada istilah pasukan yang kuat atau lemah kerana dia menghormati semua pasukan tanpa mengambil kira kedudukan ranking.

"Saya terima sahaja mana-mana pasukan yang akan kami temui kerana saya menghormati semua pasukan dan layanan kami tetap sama sahaja tidak kira pasukan itu lebih tinggi atau rendah berdasarkan kedudukan ranking berbanding Malaysia.

"Ambil sahaja Piala Dunia 2010 sebagai pengajaran. Itali yang diramal boleh menewaskan New Zealand dengan mudah sekadar seri tanpa jaringan. Itu tidak mustahil boleh berlaku kepada kami jika memandang rendah kepada lawan," katanya yang dihubungi, semalam.

Perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia akan bermula secara timbal balik pada 29 Jun dan 3 Julai. Selain Vietnam, Palestin dan Myanmar, antara pasukan lain yang boleh ditemui Harimau Malaya ialah Afghanistan, Kemboja, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Mongolia, Pakistan, Timor Leste, Macau, Taiwan, Filipina atau Laos.

Bagi skuad Olimpik pula, selepas menyingkirkan Pakistan pada pusingan pertama, kekuatan dan potensi sebenar mereka akan teruji sepenuhnya apabila 12 pasukan pilihan bakal menjadi halangan, jika ingin meneruskan hasrat beraksi pada pusingan akhir kelayakan Olimpik.

Realiti itu bagaimanapun sedikit pun tidak mengendurkan semangat jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee yang menegaskan bersedia menemui mana-mana pasukan dan akan melakukan persiapan sehabis baik.

"Jika dahulu saya pernah kata untuk mengharapkan tuah undian tetapi kali ini tidak lagi kerana Vietnam bakal diletakkan bersama kelompok kita dan baki 12 pasukan pilihan yang tinggal merupakan lawan yang hebat berbanding kita.

"Begitupun saya tidak terlalu takut atau bimbang kerana apa yang lebih mustahak kini adalah persiapan selepas mengetahui lawan kita pada hari esok (hari ini), saya mahu melakukan kerja rumah dan meninjau secara dekat kekuatan lawan supaya memudahkan saya melakukan strategi kelak.

"Strategi awal saya adalah mahu melakukan latihan pusat luar negara dengan Turki dan China menjadi pilihan awal bergantung kepada keputusan undian negara mana yang kami akan temui. Jika berdepan pasukan Asia Barat, Turki mungkin menjadi pilihan namun China akan menjadi destinasi latihan kalau pasukan dari Asia Timur menjadi lawan kami," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...