Sunday, March 20, 2011

Wan Jamak terus sokong skuad Rusa

“Saya harap penyokong teruskan sokongan kepada skuad bola sepak Liga Super Negeri Sembilan”. Itu amanat terakhir bekas Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan kepada penyokong skuad Hobin Jang Hobin. 

Beliau berkata, penyokong perlu terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kerana ia sangat penting untuk menaikkan moral dan semangat pemain. 

“Saya minta penyokong teruskan sokongan mereka walaupun saya tidak menjadi jurulatih pasukan Negeri Sembilan. 

“Bagaimanapun, saya mendoakan kejayaan Negeri Sembilan dan berharap pemain dapat mengulangi kejayaan pernah dikecapi satu masa dahulu,” katanya pada majlis perpisahan anjuran kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), semalam. 

Khamis lalu, pengendali berasal dari Johor itu menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berikutan aksi terumbang-ambing skuad Rusa pada saingan Liga Super selain terkeluar daripada kempen Piala FA. 

Wan Jamak mula bersama Negeri Sembilan pada 2008 dan berjaya membimbing pasukan itu menjulang Piala Malaysia pada 2009 dan Piala FA tahun lalu. 

Beliau muncul jurulatih pertama Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun bergelar juara Piala Malaysia sejak kali terakhir menjulangnya pada 1948.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...