Monday, April 25, 2011

Azuan lega menang di arena sendiri

MATA penuh diraih Johor FC melegakan jurulatih Azuan Zain selepas menewaskan T-Team, 2-1 sekali gus melakar kemenangan pertama di laman sendiri pada saingan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang, kelmarin.
Bagi Azuan kemenangan itu titik kebangkitan skuad bergelar Lebah tatkala memulakan saingan pusingan kedua selepas agak suram pada aksi pusingan pertama.

Beliau juga memperjudikan formasi 4-4-2 apabila memberi penekanan kepada benteng pertahanan selepas menggunakan dua pemain pertahanan tengah beraksi di posisi bek kiri dan kanan iaitu Mat Saiful Mohamad dan Mohd Radzi Jasman. Katanya, taktik itu terpaksa dipraktikkan kerana kedua-dua pemain itu memiliki ketinggian bagi menghalang setiap hantaran bola lambung selain mampu menyekat pergerakan pemain sayap kiri dan kanan T-Team.
“Apapun khidmat kedua-dua pemain itu belum pasti digunakan bagi aksi seterusnya kerana Mat Saiful mengalami kecederaan manakala Mohd Radzi digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Namun saya tetap puas hati dengan kemenangan itu selepas kombinasi pemain senior dan muda mempamerkan aksi terbaik hingga hujung perlawanan.

“Pujian kepada pemain senior seperti Eddy Helmi Manan dan Mohd Riduwan Moan yang beraksi lebih konsisten berbanding pada pusingan pertama,” katanya.
Azuan menegaskan, dua gol dicipta Shahrizal Saad pada m-18 dan pemain muda, Mohd Rashid Aya, m-79 amat berharga bagi mereka.

“Jika dinilai aksi pusingan pertama, kelibat Shahrizal-Mohd Rashid mengemudi barisan serangan kurang menjadi namun perubahan taktik dilakukan dengan meletakkan Mohd Rashid di posisi tengah.

“Hasil perubahan itu, Rashid tampak lebih bebas bergerak dan kombinasi bersama Rezal Zambery Yahya mengemudi bahagian tengah cukup berkesan,” katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...