Friday, April 29, 2011

Boleh import tiga pemain

HANYA ‘restu’ mesyuarat exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diperlukan untuk membolehkan pemain import kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Ini kerana cadangan membenarkan kembali khidmat ‘awang import’ sudah mendapat persetujuan mesyuarat Malaysian Super League (MSL) yang dipengerusi Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, semalam untuk dipanjangkan kepada mesyuarat exco yang memegang kata putus dasar badan induk bola sepak negara.

“Kami mencapai persetujuan tahap kompetitif Liga M perlu ditingkatkan dan tiga pemain import dengan salah seorang daripadanya di kalangan negara Asia Tenggara dibenarkan untuk beraksi mulai musim depan.

“Namun keputusan ini perlu dilakukan dengan segera iaitu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum sepak mula liga bermula agar tidak menimbulkan masalah kepada pasukan yang bersaing seperti kesukaran untuk mendapatkan pemain import berkualiti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MSL berkaya, pemain tempatan bakal mendapat pendedahan lebih tinggi apabila beraksi di samping pemain import berkualiti.


“Saya yakin kehadiran semula pemain import bukan saja meningkatkan mutu liga tempatan, malah memberikan petanda positif kepada beberapa aspek lain seperti komersil, terutamanya penambahan jumlah penonton di peringkat domestik dan Asia Tenggara yang menonton Liga M kelak,” katanya.


FAM sebelum ini tidak membenarkan khidmat pemain import pada saingan liga tempatan bermula musim 2009 dan keputusan itu kekal sehingga musim ini dengan alasan memberi peluang kepada pemain tempatan, terutama penyerang yang sentiasa dibayangi pemain import sehingga sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Ia adalah kali kedua larangan seperti itu dilaksanakan selepas musim 1999 hingga 2001.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...