Friday, April 22, 2011

Lotto cadang taja skuad remaja

PENAJA tunggal pakaian pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lotto bercadang meluaskan penajaan dalam arena bola sepak tempatan dengan menaja skuad negara, bermula dengan pasukan remaja. 

Jenama sukan dari Itali itu cukup sinonim dengan jersi pengadil Liga Malaysia, dan di bawah pengurusan baru, Star 360 Sdn Bhd, Lotto terus setia sebagai penaja pengadil FAM yang membabitkan kontrak tiga tahun berjumlah RM457,690 bermula Januari tahun lalu.

“Kami memilih menaja pengadil kerana ia lebih meluas berbanding penajaan pasukan,” kata pengurus jenama Lotto, Frankie Ng pada majlis penyerahan penajaan untuk tahun kedua kepada FAM di kedai konsep Lotto, Sunway Pyramid semalam.“Bagaimanapun kami tidak terhad kepada penajaan pengadil saja, tiga pasukan Liga Super - Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan - serta beberapa pemain turut mendapat penajaan kami. Sasaran kami selepas ini ialah menembusi penajaan pasukan kebangsaan, dan mungkin akan bermula dengan pasukan remaja.” 

Menurut Frankie, Lotto kini berada di tangga teratas dalam kelompok kedua jenama sukan di Malaysia dan di bawah pengurusan baru, dia berharap jenama berkenaan terus diterima peminat sukan bola sepak tempatan. 

Bercakap mengenai pencapaian tiga pasukan Liga Super tajaan Lotto, Franki berkata, pihak pengurusan berbangga dengan Kedah dan Pahang yang dilihat mempamer prestasi membanggakan, tetapi pencapaian Negeri Sembilan sedikit menggusarkan. “Tetapi saya percaya mereka (Negeri Sembilan) akan bangkit pada pusingan kedua nanti,” katanya. 

Selepas penyerahan barangan penajaan berjumlah RM250,000 tahun lalu, Lotto menyerahkan baki RM100,000 untuk tahun kedua, semalam. Majlis penyerahan penajaan berkenaan dihadiri Pengurus Pemasaran MSL Berhad, Kelvin Wong dan pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Lt Kol Kamarudin Sakhari yang diwakili S Siva. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...