Friday, April 22, 2011

Masih ada masa

PRESTASI kurang menjadi Harimau Muda A dalam Liga Super termasuk ketika tumpas kepada Kedah 1-0 kelmarin nyata mengecewakan jurulatih Ong Kim Swee.

Namun beliau tetap yakin masih mempunyai masa memperbaiki kelemahan sebelum sebilangan besar pemain skuad itu berdepan tugas getir berdepan Lebanon dalam aksi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 Jun depan.

Berdasarkan prestasi sepanjang bulan ini, Harimau Muda A mencatat empat kekalahan dan dua kemenangan untuk menduduki tangga ketujuh liga dengan mengumpul 15 mata selepas 12 perlawanan.


Rekod itu mengundang rasa kurang senang Kim Swee yang mula mencongak strategi terbaik bagi mengelakkan kekalahan berterusan yang boleh menjejaskan moral pemain menjelang perlawanan pertama pusingan kedua menentang Lebanon di Beirut 19 Jun ini.

“Semua pemain akan diberi peluang bermain dan saya akan menilai posisi mereka dalam perlawanan Liga Super, Mei ini. Ini penting bagi merangka strategi ketika bertemu Lebanon. “Kami akan mengharungi jadual padat sepanjang Mei, selain menggilirkan pemain untuk diturunkan. Justeru saya berkemungkinan besar menggunakan khidmat beberapa pemain SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) dalam tiga hingga lima perlawanan terakhir Liga Super sebelum skuad Olimpik berkumpul menjalani latihan pusat.


“Saya perlu membuat keputusan terbaik untuk Harimau Muda kerana tidak mahu pemain keletihan dan mengalami kecederaan sebelum menentang Lubnan. Semua pihak kena faham bahawa misi utama adalah kelayakan Olimpik,” katanya.


Sebelum ini, Kim Swee pernah membuat keputusan mengejut dengan memasukkan hampir separuh pemain SSBJ ketika menentang Johor pada pusingan kedua Piala FA bagi merehatkan pemain sebelum perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik menentang Pakistan. Keputusan itu menyebabkan Harimau Muda A tersingkir daripada saingan Piala FA dengan keputusan 2-1.

Ketika ini, Kim Swee terpaksa merehatkan tujuh tonggak yang mengalami kecederaan termasuk Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Affize Faisal Mamat, Gary Steven Robbat dan Mahali Jasuli.



Namun beliau berharap, Muslim akan dapat diturunkan pada perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, esok.

“Muslim mungkin kembali beraksi dan kehadirannya amat penting. Saya berharap semua pemain bangkit dengan beraksi lebih matang dalam perlawanan itu nanti,” katanya.


Mengikut perancangan, Kim Swee akan memanggil pemain skuad Olimpik pada 25 Mei sebelum bertandang ke Doha bagi latihan pusat dan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar bermula 9 Jun depan bagi persediaan menghadapi Lubnan 10 hari selepas itu.


Malaysia dan Lubnan kemudian akan bertemu sekali lagi pada perlawanan kedua di Shah Alam, pada 23 Jun. Skuad Olimpik negara sebelum ini melepasi halangan pusingan pertama dengan menewaskan Pakistan menerusi agregat 2-0.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...