Friday, April 22, 2011

Pemain saya perlu rehat: Ong

Saya tidak mahu mental mereka terganggu menjelang kelayakan Olimpik 

ANDAI ada pilihan, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee lebih cenderung memberi fokus penuh terhadap persiapan saingan pusingan kedua, kelayakan Olimpik menentang Lubnan, tetapi kekangan dengan saingan padat Liga Super sedikit membantutkan hasratnya.

“Memang bukan masalah mengharungi saingan Liga Super, tetapi dalam tempoh dua bulan ini saya rasa pemain perlu mempunyai cukup rehat antara perlawanan,” kata Kim Swee selepas perlawanan Harimau Muda A dan Kedah di Stadium Shah Alam, kelmarin.“Memang tiada tekanan untuk Harimau Muda mencapai sasaran tertentu dalam Liga Super, tetapi saya tidak mahu mental pemain muda ini terganggu jika pasukan asyik kalah. Jadi saya tidak boleh hanya menurunkan pemain kurang berpengalaman semata-mata mahu merehatkan pemain kebangsaan.” 

Pada perlawanan kelmarin, Harimau Muda A tewas 1-0 selepas Mohd Amer Saidin, tertampan bola ke gawang sendiri ketika permainan berbaki 10 minit. Amer antara pemain pertahanan yang dilihat mampu mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak kebangsaan, Mohd Muslim Ahmad yang cedera. 

Kim Swee bagaimanapun berterima kasih kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menunaikan hasratnya menangguhkan tiga perlawanan Liga Super pada 14, 17 dan 21 Jun bagi memberi lebih ruang kepadanya menyediakan pasukan ke pusingan kedua kelayakan Olimpik. 

Malaysia diundi bertemu Lubnan pada 19 dan 23 Jun ini di Beirut dan Kuala Lumpur, dan Kim Swee hanya akan mula berlatih dengan skuad penuh pada 9 Jun di Qatar dengan perlawanan persahabatan menentang pasukan Olimpik Qatar di Doha pada 13 Jun sebagai ujian tunggal Kim Swee sebelum bertemu Lubnan. 
“Saya harap dalam tempoh dua bulan ini, penyerang skuad Olimpik akan mempertingkatkan deria jaringan mereka sebelum kita berangkat ke Qatar,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...