Monday, April 25, 2011

Pengadil perlawanan pula jadi sasaran penyokong Kedah

ALOR SETAR - Jika sebelum ini jurulatih dan pengurus pasukan bola sepak Kedah menjadi sasaran, kelmarin penyokong Sang Kenari menjadikan pengadil perlawanan pula sebagai 'mangsa'.

Ia berikutan beberapa keputusan Shokri Nor yang mengendalikan perlawanan antara Kedah dan Harimau Muda A di Stadium Aman telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian penonton yang hadir.

Perasaan itu bukan sahaja disuarakan ketika perlawanan, malah berlarutan selepas permainan berakhir.

Sekumpulan penyokong dilihat berhimpun kira-kira 10 minit di hadapan pintu masuk utama stadium sebagai protes kepada Shokri sehingga memaksa anggota keselamatan meminta mereka bersurai.

Rasa tidak puas hati penonton bermula pada babak pertama apabila Shokri tidak memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah setelah bola yang ditampan pemain pertahanan pelawat dikatakan terkena tangan.

Beberapa keputusan sepanjang perlawanan yang menyaksikan Kedah tewas 1-2 kepada Harimau Muda itu turut menyebabkan penyokong Kenari 'panas punggung'.

Kemuncak kemarahan mereka ialah pada penghujung perlawanan apabila tambahan masa hanya diberikan selama dua minit sedangkan pada minit-minit akhir, perlawanan terpaksa dihentikan seketika berikutan berlaku kecederaan dan 'perang mulut' di kalangan pemain kedua-dua pasukan.

Insiden itu membawa kepada layangan kad kuning kepada beberapa pemain Kedah.

Penolong Jurulatih Kedah, Radhi Mat Din yang kurang gembira dengan mutu pengadilan Shokri berharap perkara seumpama itu tidak berulang dan menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sama ada mahu membuat bantahan atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...