Thursday, April 28, 2011

T-Team panggil Che Ku Marzuki

KRISIS yang melanda T-Team bakal menemui jalan penyelesaian apabila pengurusan pasukan berstatus kelab itu melantik Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor dan Yusuf Ali sebagai jurulatih sementara.
Tindakan itu adalah susulan keputusan pihak tertinggi T-Team yang merehatkan ketua jurulatih, Yunus Alif daripada membimbing pasukan ekoran prestasi teruk yang dicatat sejak kebelakangan ini.
Pengurus T-Team, Rozi Mamat ketika mengesahkan keputusan itu berkata, pelantikan Che Ku Marzuki dan Yusuf dibuat berdasarkan perbincangan semua pihak demi memastikan pasukan itu dapat terus bersaing dalam kempen liga musim ini.
"Kita akui T-Team tidak begitu konsisten sehingga ramai peminat tak puas hati dan kita mengambil keputusan untuk merehatkan Yunus," katanya semalam.
Untuk rekod, Che Ku Marzuki merupakan bekas jurulatih T-Team yang berjaya membawa pasukan berstatus kelab itu layak beraksi dalam kempen Liga Super musim lalu selepas hanya semusim bersaing dalam Liga Perdana.
Tahun lalu, T-Team yang dibarisi ramai pemain berpengalaman seperti Syamsuri Mustaffa, Norfazly Alias, Hairuddin Omar dan Rosdi Talib berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh.
Sementara itu, Yusuf pula yang diberi tanggungjawab untuk berkerjasama dengan Che Ku Marzuki merupakan jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team.
"Tugasan kedua-dua jurulatih ini akan diteliti dan jika pengurusan berpuas hati, khidmat kedua-dua jurulatih itu berkemungkinan akan diteruskan," ujarnya.
Dalam pada itu, Che Ku Marzuki ketika dihubungi mengesahkan, dia telah 'bebas' daripada penggantungan selama enam bulan pada 20 April lalu dan sedia kembali membimbing bekas pasukannya itu andai diberi peluang.
"Masih terlalu awal untuk saya komen keputusan ini dan kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku nanti," katanya.
Kemelut yang berlaku dalam kem T-Team bermula sejak dua minggu lalu apabila mereka tewas 0-1 kepada pasukan setempat, Terengganu sebelum dimalukan Johor FC dan Kuala Lumpur.
Namun, T-Team yang beraksi buat pertama kali tanpa kelibat Yunus kelmarin kembali garang apabila merekodkan kemenangan pertama dalam lima perlawanan terakhir menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kedah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...