Saturday, April 23, 2011

Wan Jamak milik Kedah

DESAS desus siapakah bakal dilantik ketua jurulatih Kedah bakal terjawab selepas bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan dijemput pada majlis pemakaian sut pasukan Hijau Kuning sebagai simbolik yang dijadual berlangsung di Alor Setar, hari ini.
Difahamkan, pada majlis itu, Wan Jamak juga bakal menandatangani kontrak bersama skuad Kenari dalam majlis yang diadakan kira-kira jam 5 petang, sebelum perlawanan antara pasukan itu dengan Harimau Muda A pada pusingan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, Wan Jamak dijemput pada majlis itu sebagai tanda menjadi sebahagian anggota skuad Hijau Kuning.


“Kami sudah membayangkan Wan Jamak bakal menerajui pasukan Kedah. Apapun kena tunggu pada majlis petang esok (hari ini) yang dijadual berlangsung kira-kira jam 5 petang.

“Buat masa ini, saya tidak boleh beri sebarang komen sehingga majlis itu berlangsung. Mungkin dia bakal menandatangani kontrak dengan pasukan Kedah, “KFA sudah membatalkan pendaftaran Ahmad Yusof selaku jurulatih Kedah, kelmarin dan pendaftaran Wan Jamak akan dibuat Isnin ini,’’ katanya yang ditemui di Alor Setar, Kedah, semalam.


Beliau berkata, pihaknya berminat mengambil Wan Jamak yang pernah membimbing skuad Hobin Jang Hobin sebagai ketua jurulatih kerana yakin dengan kebolehannya membimbing pasukan negeri lain.



“Wan Jamak dijadual memulakan tugas barunya di Kedah sebagai ketua jurulatih awal minggu depan selepas proses pendaftarannya sebagai jawatankuasa dalam pasukan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selesai Isnin ini.

“Bagaimanapun, keputusan rasmi sama ada Wan Jamak dilantik ketua jurulatih kita tunggu esok (hari ini),” katanya.




Kemelut pasukan Kedah tercetus apabila penyokong pasukan itu mendesak KFA menggugurkan ketua jurulatih, Ahmad dan pengurusnya, Datuk Khazali Din berikutan prestasi merudum dalam Liga Super 2011 selain tersingkir daripada saingan Piala FA.

KFA akhirnya akur dengan desakan penyokong dan merehatkan Ahmad sementara waktu dengan penolong jurulatihnya, Radhi Md Din memangku jawatan sebagai ketua jurulatih bagi satu tempoh yang akan ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...