Saturday, May 28, 2011

FAM sokong lapor aktiviti atur perlawanan

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyokong penuh tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis berhubung kegiatan mengatur perlawanan membabitkan skuad Piala Presiden negeri itu.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, FAM bagaimanapun meminta agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

"Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan sekiranya ia didapati benar, maka mereka yang terlibat pasti tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

"FAM menyokong sepenuhnya tindakan PBNS membuat laporan polis berdasarkan 'bukti kukuh termasuk saksi' yang diperolehi berhubung kegiataan keji itu," ulas kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, FAM dengan kerjasama polis telah pun menubuhkan sebuah Unit Khas bagi memerhati dan menyiasat setiap laporan yang dikemukakan oleh persatuan bola sepak negeri atau mana-mana pihak yang mahu menyumbang ke arah memastikan bolasepak Malaysia sentiasa bebas dari gejala ini.

"Selain itu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah telah bertitah supaya Sekretariat FAM memberi kerjasama dan ambil pendekatan pro-aktif dalam membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"FAM yakin bahawa pertandingan-pertandingan tempatan berjalan dengan bersih. Sekiranya ada sebarang percubaan untuk mengatur keputusan perlawanan, ia hanya perbuatan segelintir orang yang tamak dan tidak bermoral," jelas kenyataan itu lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...