Friday, May 20, 2011

FIFA akui FAM telus, tak bersalah

Siasatan berkaitan mengatur perlawanan bola sepak membabitkan Zimbabwe pada 2009

TELUS dan tidak bersalah! Itu kesimpulan dapat dibuat terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas kunjungan delegasi Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Wisma FAM, semalam. 

Kesimpulan itu dibuat Ketua Keselamatan FIFA, Chris Eaton yang berada di ibu negara semalam bagi membincangkan isu mengenai sindiket perjudian dan mengatur perlawanan bersama FAM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).“Saya gembira melihat usaha dilakukan FAM dan PDRM dalam membanteras perkara ini (mengatur perlawanan),” kata Eaton kepada wartawan semalam. “Ingin saya tekankan di sini, FAM tidak bersalah dalam hal berkaitan mengatur perlawanan membabitkan Zimbabwe pada 2009.

“Malah FIFA beranggapan, langkah pencegahan dilakukan pihak berkuasa di sini mungkin akan dijadikan model kepada negara lain pada masa depan.” Antara langkah dimaksudkan Eaton ialah penubuhan pasukan khas di setiap negeri untuk menangani masalah mengatur perlawanan. 

Berita kedatangan delegasi FIFA ke ibu negara baru-baru ini mencetus pelbagai spekulasi antaranya FAM terbabit dengan menentukan keputusan dua perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Zimbabwe pada Julai 2009. Namun Eaton dengan tegas menafikan tanggapan negatif berkenaan. 

“FAM adalah mangsa penipuan sama seperti FIFA dan badan induk lain yang terbabit dengan pasukan berkenaan,” kata Eaton menjawab soalan mengenai skandal mengatur perlawanan membabitkan Zimbabwe. “Kami masih menyiasat perkara berkenaan dan terpulang kepada badan induk negara itu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit.” 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...