Monday, May 30, 2011

Gejala rasuah terus hantui Liga M?

DUNIA sukan bola sepak tanah air kembali ‘bergegar’ gara-gara dakwaan isu rasuah yang sudah mula melanda beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia, sejak kebelakangan ini. 

Sebagai bukti, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) melalui Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, 26 Mei lalu mengenai kegiatan me-ngatur keputusan perlawanan membabitkan skuad Piala Presiden dan Liga Super negeri itu. 

Andai benar seperti apa yang didedahkan PBNS baru-baru ini, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan menjadi ‘barah’ sehingga melumpuhkan perkembangan sukan nombor satu negara ini. 

Jika diimbas kembali, negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah pada tahun 1994 dan 1995. 

Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat. 

Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad terhadap 26 pemain yang menyaksikan mereka dibuang daerah manakala Lembaga Disiplin FAM pula menggantung penyertaan antara satu hingga lima tahun terhadap 57 pemain serta seorang penolong jurulatih. 

Pada 2008 pula, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menggantung tujuh pemainnya kerana disyaki menerima rasuah antara RM20,000 hingga RM25,000. 

Mengapa perkara ini berlaku ketika imej pasukan kebangsaan sedang meningkat di persada antarabangsa selepas tercalar sejak sekian lama. 

Kejayaan pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan memenangi pingat emas di Temasya Sukan Sea Laos 2009 membuktikan bola sepak negara makin maju dan peminat kembali memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding. 

Namun, jika pihak berkenaan lambat bertindak tidak mustahil pemikiran rakyat terhadap sukan popular di Malaysia sedikit terhakis kerana berasakan diri mereka tertipu dengan keputusan perlawanan yang diatur sebelum perlawanan bermula. 

Ada pihak yang mendakwa, terdapat sebilangan pemain mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah kerana lambat menerima bayaran gaji dan bayaran tidak mencukupi untuk setiap bulan. 

Sesungguhnya, gejala rasuah yang dikatakan kembali menular dalam kancah bola sepak tempatan, tidak boleh dipandang remeh serta perlu dibanteras segera dengan kerjasama pihak (FAM, SPRM dan PDRM). 

Bagaimanapun, meja sukan Sinar Harian berharap perkara jijik yang heboh digembar-gemburkan dalam laporan media sebelum ini tidak berlaku kerana ia boleh ‘menjahanamkan’ industri sukan bola sepak negara itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...