Wednesday, May 25, 2011

Hak Fifa gantung PSSI

pix_middle


USAH terkejut jika Malaysia tidak perlu bersusah payah mempertahankan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi dua tahun lalu di Laos kerana ada kemungkinan sukan itu tidak akan dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan di Palembang November ini.


Ini kerana Persekutuan Sukan Sea (SGF) tidak boleh berbuat apa-apa jika badan induk bola sepak antarabangsa Fifa bertegas untuk menggantung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, pembatalan sesuatu acara dalam Sukan Sea bukan sesuatu yang baru kerana pernah berlaku kepada bola keranjang yang terpaksa digugurkan pada Sukan Sea di Manila 2005 kerana penggantungan persatuan bola keranjang negara tuan rumah itu.




“Ini semua bergantung kepada Fifa, mereka mempunyai hak dan kuasa untuk membuat keputusan kita orang luar tidak boleh cakap apa-apa. Ini membabitkan masalah dalaman PSSI, orang luar tidak boleh campur.

“Jika bola sepak tidak diadakan pada Sukan Sea kali ini, kita kena terima seperti apa yang berlaku kepada bola keranjang, sukan yang popular di Filipina tapi disebabkan persatuan mereka dikenakan tindakan oleh Fiba (Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa), acara itu tidak boleh diadakan pada Sukan Sea 2005.


“Pembatalan acara bola sepak di Sukan Sea boleh berlaku jika kita mengambil kira kes bola keranjang itu malah kalau mahu diikutkan Fifa lebih kuat jika dibandingkan dengan Fiba,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.



Isu kemungkinan pengguguran acara bola sepak Sukan Sea di Palembang mula timbul selepas Fifa dijangka menggantung Indonesia daripada menyertai sebarang kejohanan bola sepak antarabangsa termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia serta Sukan Sea apabila mereka menjadi tuan rumah hujung tahun ini.

Hukuman itu dijangka dibuat selepas mengambil kira kegagalan PSSI menyelesaikan perbalahan mengenai bagaimana sukan itu patut diuruskan di negara yang mempunyai penduduk seramai 240 juta orang itu.




Ia satu kehilangan besar jika sukan utama, bola sepak tidak dapat diadakan pada Sukan Sea kali ini dengan Malaysia bakal turun dengan misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi buat kali pertama selepas 20 tahun.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan acara bola sepak Sukan Sea diadakan di negara lain seperti yang disuarakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Kok Chi berkata perkara itu perlu mendapat persetujuan bersama SGF dan tuan rumah Indonesia.


“Ini satu perkara lain, ini bergantung kepada SGF dan Indonesia sama ada mereka benarkan atau tidak. Mungkin boleh diadakan tapi Indonesia mungkin tidak boleh ambil bahagian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...