Wednesday, May 25, 2011

Isu kos stadium selesai

KUALA LUMPUR - Isu siapa harus menanggung kos penalti RM500,000 akibat penangguhan kerja memperbaiki trek Stadium Nasional, Bukit Jalil selesai semalam selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akhirnya mencapai formula yang akan menguntungkan kedua-dua pihak.

FAM tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar penalti, sebaliknya badan bola sepak kebangsaan itu akan menyewa stadium berkenaan untuk enam perlawanan dan bayaran sewa tersebut sudah cukup bagi menampung kos penangguhan, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Nasional sepanjang Jun dan Julai nanti adalah final Piala FA di antara Terengganu dan Kelantan (11 Jun), kelayakan Sukan Olimpik 2012 (menentang Lebanon, 19 Jun), kelayakan Piala Dunia (Taiwan, 29 Jun) serta tiga perlawanan melibatkan kelab Liga Perdana England - Arsenal (13 Julai), Chelsea (21 Julai) dan Liverpool.

Malah kata Azzuddin, perlawanan boleh bertambah menjadi tujuh sekiranya Malaysia mengalahkan Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia, sekali gus menempah pertemuan dengan Singapura.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Putrajaya kelmarin, yang disifatkan oleh Azzuddin sebagai penyelesaian adil dan situasi 'menang-menang' buat kedua-dua pihak.

"FAM akan bayar sewa seperti biasa, termasuk untuk tiga perlawanan menentang kelab Liga Perdana England, tentang bagaimana pihak stadium hendak menyelesaikan pembayaran kos penangguhan kepada kontraktor, itu terserah kepada mereka.

"Bagaimanapun hasil sewa untuk enam perlawanan yang bakal diadakan nanti cukup untuk menampung bayaran RM500,000 yang dikenakan, namun KBS dan pihak stadium masih berunding untuk cuba mengurangkan penalti,'' kata Azzuddin ketika ditemui pada majlis pengumuman Jelajah Arsenal ke Malaysia di sini, semalam.

Jelas Azzuddin lagi, tiada kadar tambahan dikenakan ke atas sewa kesemua perlawanan itu kerana KBS dan FAM berkongsi matlamat yang sama iaitu menyokong bola sepak tempatan.

"FAM ingin menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana membenarkan kami menggunakan Stadium Nasional, ia adalah demi kepentingan bola sepak negara, pemain serta peminat,'' katanya.

Kenyataan Azzuddin itu turut disokong Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menganggap isu Stadium Nasional kini selesai dan pembayaran yang diberikan badan bola sepak itu dapat membantu pihak perbadanan stadium.

Mengenai berapa kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh FAM untuk sewa kesemua perlawanan tersebut, Tengku Abdullah menegaskan, perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

"Yang penting ia selesai dan kami ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Menteri kerana membenarkan kami menggunakan stadium tersebut,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...