Friday, May 20, 2011

Liga Malaysia bersih - PDRM

PETALING JAYA - Bola sepak Liga Malaysia masih bersih dan selamat daripada sebarang anasir yang boleh dikaitkan dengan aktiviti mengatur perlawanan dan perjudian buat setakat ini.

Itu kesimpulan yang boleh dinyatakan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/ KA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berhubung status sebenar isu berkenaan.

Biarpun masih belum ada sebarang kes mengenai kegiatan mengatur perlawanan, beliau memberikan jaminan pihak polis sama sekali tidak akan bersikap leka dalam soal itu bagi memastikan penyakit yang pernah melanda bola sepak negara pada tahun 1995 tidak akan berulang kembali.

''Sepanjang siasatan kami buat masa ini, saya boleh beritahu tidak ada mana-mana pihak yang kami dapati terlibat dalam jenayah mengatur perlawanan dalam saingan Liga Malaysia.

''Ini berdasarkan maklumat yang kami dapati selepas bekerjasama rapat dengan FIFA yang sentiasa menyalurkan apa-apa perkembangan kepada kami.

''Walaupun setakat ini pihak kami belum berdepan mana-mana kes, kami tetap komited menubuhkan unit bertindak khas bagi memantau kegiatan perjudian dan mengatur perlawanan dari masa ke semasa.

''Pasukan khas ini juga akan terdapat di setiap negeri bagi bekerjasama dengan setiap Persatuan Bola Sepak Negeri sementara di Bukit Aman akan sentiasa berhubung rapat bersama FAM.

''Saya seru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perjudian atau rasuah bola sepak, terus hubungi pihak polis supaya kami boleh melakukan siasatan terperinci," katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.

Beliau sebelum itu menemui Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton dan delegasi yang lain terdiri daripada Penyiasat Utama FIFA, Teny Steans; Pegawai Penerangan Utama FIFA, Javier Mena dan Pegawai Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Domeka Garamendi.

Jelas Salleh lagi, unit bertindak khas itu akan diletakkan di bawah pemantauan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang akan diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad memberikan peringatan keras kepada pemain supaya jangan sama sekali terlibat dengan kegiatan rasuah.

''Sekiranya pihak FAM mendapat maklumat bahawa mereka terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan, kami tidak akan teragak-agak mengarahkan kontrak mereka ditamatkan dan dikenakan tindakan disiplin yang berat.

''Masalah rasuah adalah satu kes yang serius. FAM sama sekali tidak akan berkompromi dan kami harap sejarah hitam tahun 1995 tidak akan berulang," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...