Saturday, May 21, 2011

PKNS juara Liga Perdana 2011

KUALA LUMPUR - PKNS mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas mengalahkan Johor 2-0 di Stadium MBPJ Kelana Jaya, malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim mengumpul 51 mata, untuk dinobat selaku juara ketika baki tiga perlawanan.
Lebih membanggakan PKNS mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan setakat ini.

Perolehan 51 mata tersebut tidak mampu lagi dipintas pencabar terdekat, Sarawak yang mengumpul 39 mata, setelah menang 3-0 ke atas PDRM di Stadium Negeri Kuching, semalam.

Saingan untuk satu lagi slot ke saingan Liga Super pada musim depan tertumpu kepada perebutan di antara Sarawak dan pasukan di tangga ketiga, Sime Darby.

Namun cabaran Sime Darby sedikit terencat apabila kalah 1-2 kepada SDM Navy di Stadium Batu Kawan, malam tadi.

PKNS, yang hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan semalam untuk bergelar juara, sebaliknya selesa dengan tiga mata penuh di laman sendiri menerusi jaringan Ahmad Tharmini Saiban pada minit ke-59, disusuli jaringan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul pada minit ke-71, yang kemudiannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Abdul Rahman berkata, beliau bersyukur kerana PKNS muncul juara Liga Perdana lebih awal iaitu ketika baki tiga perlawanan.

"Kejuaraan ini merupakan satu rekod luar biasa, saya sendiri tidak menjangka dengan apa yang kami capai.

"Kemampuan kami muncul juara disebabkan disiplin pemain di atas padang. Bahagian pertahanan beraksi dengan baik apabila hanya melepaskan empat gol setakat ini.

"Kejayaan ini disebabkan pemain-pemain sendiri yang mahukan kejuaraan setelah tiga tahun saya membimbing skuad ini.

"Setelah tiga tahun para pemain ini mencuba, pada tahun ketiga barulah kami berjaya ke Liga Super, kejuaraan ini adalah kerana motivasi pemain.

"Kejayaan ini juga menamatkan penantian lebih 20 tahun PKNS untuk beraksi dalam Liga Super," katanya.

Sementara itu, jurulatih Johor, Azmi Muhamad akan memastikan mereka merupakan pasukan kedua yang akan mengiringi PKNS ke Liga Super musim depan.

"Kami masih ada tiga perlawanan dan adalah penting untuk kami meraih mata dalam ketiga-tiga perlawanan untuk mencerahkan peluang ke Liga Super," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...