Tuesday, May 24, 2011

Sarawak naib juara Liga Perdana

KUCHING - Sarawak mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Liga Perdana 2011 selepas mengalahkan USM FC 4-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, semalam.

Namun, nasib mereka untuk mengiringi PKNS ke saingan Liga Super musim depan bergantung kepada cadangan format baru musim depan yang belum diputuskan oleh FAM.

Ini kerana Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL) bercadang untuk mengurangkan aksi pasukan dalam Liga Super daripada 14 kepada 12 pasukan musim depan.

Gol Sarawak semalam dijaringkan Ahsri Chuchu minit ke-47 dan minit ke-50 manakala dua gol lagi masing-masing dijaringkan Gonzales minit ke-69 dan Benedict Martin minit ke-85.

Gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Mohd. Afzan Zainal Abidin minit ke-87.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman gembira dengan kejayaan Sarawak muncul naib juara Liga Perdana musim ini.

Menurutnya, beliau amat terharu dengan kesungguhan pemain di sepanjang aksi musim ini sambil menyifatkan perlawanan semalam sebagai aksi terbaik pasukannya setakat ini.

"Kejayaan ini adalah berkat kerja keras semua pihak, pemain, jurulatih dan barisan exco dalam badan induk (FAS) selama ini.

"Tahniah kepada semua di atas sokongan yang diberikan selama ini dan inilah imbuhan yang kita dapat dan ia perlu dikongsi bersama seluruh warga Sarawak," katanya.

Beliau turut memuji peranan dua individu penting di sebalik kejayaan Sarawak iaitu bekas ketua jurulatih, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad dan ketua jurulatih yang baru, Roberts Albert.

"Mohd. Zaki memberikan sentuhannya dalam membentuk keupayaan pemain manakala Robert Alberts membentuk sentuhan penyudah yang amat berkesan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...