Monday, May 23, 2011

Terengganu pintas Selangor

KUALA LUMPUR - Jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-86 ketika berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam sudah cukup buat Kelantan mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super.

Walaupun satu mata, Kelantan berjaya menghalang Terengganu daripada memintas berdasarkan rekod perbezaan jaringan yang memihak kepada Red Warriorswalaupun kedua-dua pasukan terikat pada jumlah mata yang sama iaitu sebanyak 44 sementara Selangor di tangga ketiga, ketinggalan dua mata.

Harimau Muda terlebih dahulu menggegar pada minit ke-13 melalui Izzaq Faris Ramlan sebelum disamakan oleh S. Chanturu, 18 minit kemudian tetapi Izzaq sekali lagi meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-69.

Namun, gol penyamaan oleh Norshahrul empat minit sebelum tamat menghampakan anak-anak buah Ong Kim Swee bagi meraih tiga mata berharga.

Di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, Kuala Terengganu, skuad Peteh terus mempamerkan rentak menyakinkan apabila menang selesa 3-0 ke atas Negeri Sembilan bagi mengekori rapat kedudukan Kelantan.

Abdul Manaf Mamat meledak sebanyak dua kali pada minit ke-24 dan 52 sebelum pemain kebangsaan, Asaari Samsudin menambah derita pelawat dengan satu lagi gol pada minit ke-63.

Namun, cerita berlainan ditampilkan oleh juara bertahan, Selangor yang terus layu selepas mencatatkan kekalahan dua kali berturut-turut, kali ini kepada satu lagi pasukan Pantai Timur, Pahang, 2-1 di Stadium Darul Makmur.

Penyerang Tok Gajah, Azamuddin Akil membuka tirai jaringan pada minit ke-26 sebelum Mohd. Munir Amran mengukuhkan cengkaman pada minit ke-80. Gol menerusi sepakan percuma melalui D. Surendran pada minit terakhir permainan sudah terlambat menghalang Pahang mengutip tiga mata berharga.

Kedah dan Kuala Lumpur pula sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Darul Aman manakala T-Team menang bergaya 3-1 di Stadium Likas bagi memintas kedudukan Felda United di tangga ketujuh apabila Felda kalah tipis 0-1 kepada Perak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hasil jaringan tunggal Akmal Rizal Rakhli.

Johor FC berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 kepada Perlis di Stadium JCorp.

Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...