Thursday, May 26, 2011

Usah perbesar isu play-off: FAM

ISU play-off pasukan teratas Liga Perdana yang menimbulkan kemarahan peminat pasukan juara, PKNS dan naib juara, Sarawak, seharusnya tidak diperbesarkan terlebih dulu kerana exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum membuat sebarang keputusan. 

Malah cadangan Malaysia Super League (MSL) untuk mengurangkan saingan Liga Super kepada 12 pasukan musim depan sehingga mencetus kemungkinan berlakunya play-off antara pasukan tertentu juga, hanya sekadar satu cadangan.

Buat masa ini, PKNS dan Sarawak sudah mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan dan tiada apa yang perlu dirisaukan kedua-dua pasukan berkenaan tetapi andai exco FAM yang bersidang bulan depan memutuskan menerima cadangan MSL, satu format baru akan diguna pakai.


Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kenyataannya kepada wartawan kelmarin menegaskan, tidak perlu bagi pasukan terbabit melatah mengenai perkara itu kerana FAM masih belum memberi kata putus. 

“Saya sendiri belum dimaklumkan secara terperinci mengenai perkara berkenaan,” titah Tengku Abdullah selepas majlis pelancaran Jelajah Arsenal ke ibu negara kelmarin. “Exco FAM hanya akan bermesyuarat bulan depan untuk membincangkan perkara ini. 

“Jadi sehingga keputusan dibuat, tiada perubahan mengenai format kelayakan ke Liga Super. Semua pasukan perlu terus bermain walau apapun keputusan dicapai nanti.” 

Pada 14 Mei lalu, Pengerusi MSL, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kepada media tempatan beberapa cadangan dikemukakan MSL berkenaan perjalanan Liga Super musim depan, antaranya pengurangan jumlah pasukan Liga Super kepada 12 berbanding 14 sekarang. 

Cadangan itu yang perlu mendapat kelulusan ahli majlis FAM, dibuat bagi memastikan kualiti pasukan bertanding berada pada taraf hampir sama dan tiada pasukan ketinggalan terlalu jauh di belakang. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...