Thursday, June 9, 2011

Amaran Tengku Abdullah

IBARAT pisang berbuah dua kali, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad memberi amaran kepada semua pihak yang terbabit dalam sukan bola sepak negara supaya menjauhkan diri daripada aktiviti rasuah kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap kes yang kembali menghantui sukan nombor satu itu, Timbalan Presiden FAM itu berkata, FAM mahu mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu sama ada pegawai persatuan, jurulatih dan pemain tampil membuat laporan kepada persatuan atau pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

“Saya minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah atau mengatur keputusan perlawanan supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan pihak kita akan merahsiakan mereka yang memberi maklumat berkenaan.




“Usaha memerangi rasuah sentiasa diberikan penekanan bukan saja pada peringkat FAM malah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan kita tidak akan memberi ruang kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan ini kerana ia boleh menjahanamkan masa depan sukan bola sepak negara,” katanya kepada pemberita selepas bertemu peserta Program Kem 1Mas Hoki Kebangsaan, di Stadium Hoki Seremban 2, petang semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Timbalan Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Nur Azmi Ahmad.


Abdullah berkata, FAM akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasa terutama polis bagi membanteras kegiatan keji itu dan sudah bercadang menempatkan seorang pegawai polis dalam badan induk bola sepak negara itu pada masa terdekat yang bertanggungjawab memantau kegiatan itu.





Menurutnya, selain itu anggota polis juga akan membuat pengawasan pada setiap perlawanan bola sepak termasuk dalam saingan Liga Malaysia bagi mengesan kemungkinan ada kegiatan bookie.

FAM tidak mahu kes rasuah dalam sukan bola sepak negara seperti 1995 berulang dan merebak hingga menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap sukan itu.




“Insiden pada 1995 apabila ramai pemain dikesan terbabit dalam rasuah dan dihukum seharusnya menjadi iktibar, justeru FAM tidak mahu ‘pisang berbuah kali’ dan akan memastikan bola sepak negara bebas daripada kegiatan keji ini,” katanya.

Isnin lalu, bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 21 pertuduhan mengatur keputusan perlawanan membabitkan pasukan Negeri Sembilan menentang Pulau Pinang SDM Navy, 21 April lalu selepas didakwa memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada 11 pemain skuad terbabit.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...