Wednesday, June 29, 2011

Bukan mustahil layak ke Brazil

SKUAD kebangsaan menjalani latihan sebagai persiapan terakhir menghadapi Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

IMPIAN Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil bukan sesuatu yang mustahil.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheekberkata, impian itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal mampu beraksi dengan baik mulai perlawanan pertama.
Jelasnya, keyakinan rakyat Malaysia terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mencari kemenangan sulung pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia bagi Zon Asia.
Malam ini, anak-anak buah Rajagobal akan mengharungi ujian sulung apabila menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Isyarat sokongan padu rakyat Malaysia jelas kelihatan apabila remaja hari ini menjadikan jersi skuad kebangsaan sebagai tren pakaian harian mereka.
"Mereka juga sanggup memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Olimpik negara yang berjaya melangkah ke pusingan akhir Zon Asia.
"Skuad senior kebangsaan perlu menjadikan kejayaan skuad Olimpik negara mengatasi Lebanon pada pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 baru-baru ini sebagai pendorong untuk mencipta kejayaan yang sama," jelas Shabery semalam.
Shabery berkata, skuad kebangsaan memiliki reputasi tinggi selaku juara Asia Tenggara setelah menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010.
Menurutnya lagi, mereka mempunyai kelebihan berbanding Taiwan kerana bermain di tempat sendiri dan peluang tersebut perlu digunakan sebaik mungkin.
"Saya meramalkan bahawa skuad Harimau Malaya mampu mengatasi Taiwan 3-0 pada perlawanan pertama esok (hari ini)," katanya.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia membanjiri stadium malam ini bagi memberi semangat kepada anak-anak buah Rajagobal.
"Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dengan datang ke stadium kerana kita tahu dalam bola sepak ada 12 orang pemain. Seramai 11 pemain berada di atas padang, manakala satu lagi penyokong.
"Mari kita tunjuk sokongan beramai-ramai kerana kehadiran penyokong membuahkan hasil dengan kemenangan Malaysia sewaktu menentang Indonesia, Vietnam dan Lebanon sebelum ini," katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...