Wednesday, June 22, 2011

Congak formula ledak jaringan

PEMAIN skuad Olimpik giat menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam walaupun hanya baru tiba dari Lebanon awal petang semalam. Skuad negara akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan timbal balik Kelayakan Olimpik menentang Lebanon di Stadium Nasional, esok. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

SEPANG - Ketumpulan jentera serangan memaksa jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee memikirkan strategi baru untuk meraih kemenangan apabila bertemu Lebanon pada perlawanan timbal balik pusingan kedua Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

"Saya lihat barisan hadapan dan pertahanan perlu diubah strateginya, kerana kita perlukan gol untuk layak ke saingan seterusnya. Namun, saya tidak tukar corak permainan keseluruhannya.

"Apa yang paling penting ialah disiplin pemain perlu dijaga kerana walaupun kita menyerang, pada masa yang sama kita juga perlu bertahan. Ia perancangan penting yang saya akan buat pada latihan sebelum perlawanan bermula," katanya.

Skuad Olimpik Malaysia tiba dari Lebanon di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pada perlawanan di Stadium Sports City, Beirut Ahad lepas, Malaysia hanya seri tanpa jaringan dengan Lebanon.

Kim Swee berkata, perlawanan menentang Lebanon di tempat sendiri esok penting kerana ia akan menjadi bonus untuk pasukan negara melangkah ke perlawanan pusingan ketiga sekiranya menang.

Mengenai barisan penyerang yang gagal meledak gol pada perlawanan di Beirut, serta kalah dalam dua perlawanan persahabatan terdahulu, beliau berkata, mereka masih mencari rentak permainan.

Dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja 7 Jun lepas, skuad negara dikejutkan dengan kekalahan 0-1 dan terus menerima kekalahan 0-4 ketika menentang Qatar pada 13 Jun.

Beliau berharap perlawanan di halaman sendiri esok akan memberi kelebihan kepada pasukan negara menerusi sokongan padu para penyokong.

"Ini merupakan satu ujian di mana penyerang-penyerang saya telah dapat mencipta peluang gol, namun masih buntu mencipta sentuhan terakhir.

"Saya percaya bermain di tempat sendiri serta sokongan padu peminat negara mampu membuatkan mereka lebih fokus untuk mencari kemenangan," kata Kim Swee.

Beliau juga tidak bimbang dengan kecederaan dua pemain hadapan iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera di dada dan Mohamad Fandi Othman yang cedera di betis ketika bermain di Beirut.

"Nasib baik kecederaan mereka tidak serius dan saya harap mereka mampu beraksi sebelum sepak mula Khamis ini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...