Thursday, June 23, 2011

Fadhli mahu rantai penyerang Lubnan

BERAKSI pada saat genting di depan ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sesuatu yang asing buat pemain pertahanan kental, Mohd Fadhli Mohd Shas.
Aksinya bersama Mohamad Muslim Ahmad di bahagian pertahanan tengah dilihat cukup ampuh ketika membantu skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Kali ini, kudrat pemain berusia 20 tahun itu sekali lagi ditagih dalam memastikan kubu skuad Olimpik negara mampu bertahan daripada asakan tiga penyerang Lubnan, Mahmoud Kojok, Mohamad Haidar dan Chadi Atie.

“Kami harap dapat mengekalkan prestasi di Lubnan. Semua pemain perlu fokus dan tidak melakukan kesilapan kerana perlawanan ini adalah hidup mati pasukan negara,” katanya.

Menurutnya, beraksi di tempat sendiri tidak memberi tekanan sebaliknya akan membakar semangat untuk mereka berjuang habis-habisan.

“Pengalaman bermain dengan skuad senior sebelum ini memang banyak membantu saya. Saya tidak fikir beraksi di laman sendiri akan memberi tekanan sebaliknya akan membakar semangat pemain untuk berjuang habis-habisan.

Sementara itu, barisan pertahanan negara sedikit terjejas apabila pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli tidak dapat beraksi kerana mengutip kad kuning kedua pada perlawanan pertama dengan Lubnan yang berkesudahan seri 0-0 di Beirut Ahad lalu.

Namun itu tampak tidak memberi banyak masalah kepada jurulatih Ong Kim Swee memandangkan beliau masih mempunyai pemain pengganti yang boleh diharapkan.

“Mahali tidak akan diturunkan kerana digantung perlawanan. Agak rugi Mahali tidak dapat bermain kerana dia berpengalaman tapi saya masih miliki pemain lain seperti Mohamad Affizie Mamat dan Mohamad Fandi Othman untuk mengisi tempatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...