Monday, June 27, 2011

Hadi bawa khabar gembira

KEBIMBANGAN berhubung kecederaan yang menimpa penyerang skuad kebangsaan, Abdul Hadi Yahaya sedikit terlerai apabila pemain skuad Liga Super Terengganu itu mengesahkan ia tidak serius.
Menurut Hadi, 26, dia mengalami kecederaan otot di bahagian belakang pinggulnya ketika melepaskan rembatan pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Khamis lalu.
“Kesakitan semakin kurang. Ia tidaklah begitu serius dan saya kini sudah boleh berlari. Mungkin sempat pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari.
“Harap tiada masalah kerana saya begitu bersemangat untuk turun beraksi menentang Taiwan,” kata Hadi ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Skuad kebangsaan diberi rehat sehari sebelum kembali berlatih hari ini sebagai persiapan terakhir menghadapi Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Hadi telah menjaringkan satu gol ketika skuad kebangsaan seri 1-1 dengan Hong Kong pada 3 Jun lalu dan dia turut beraksi ketika menewaskan Myanmar 2-0 di Kota Bharu pada 18 Jun lalu.
Namun pemain yang berasal dari Klang, Selangor itu direhatkan sepenuhnya ketika skuad kebangsaan menewaskan Harimau Muda A 3-1 pada perlawanan ujian di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal bakal mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk menentang Taiwan pada sesi latihan petang ini.
Skuad kebangsaan kini mempunyai seramai 30 pelatih termasuk lima penjaga gol.
“Saya sudah ada gambaran awal tetapi mahu melihat keadaan terkini para pemain pada pagi esok (hari ini) sebelum mengumumkan senarai terakhir.
“Tentang Norshahrul Idlan Talaha, saya akan nilai tahap kecergasannya. Mungkin namanya akan berada dalam senarai 23 pemain,” kata Rajagobal ketika dihubungi semalam.
Andai Hadi dan Norshahrul sudah pulih sepenuhnya, Rajagobal pasti kembali lega dengan memiliki banyak pilihan di jentera serangan selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...