Monday, June 27, 2011

Mahali serik

KECEWA sekadar menjadi penonton pada perlawanan kelayakan Olimpik London 2012 Khamis lalu tidak mahu lagi diulangi pemain pertahanan kental, Mahali Jasuli yang berharap diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan mengharungi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Mahali, 22, terlepas peluang beraksi ketika skuad Olimpik negara menewaskan Lubnan 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua Olimpik kerana digantung satu perlawanan gara-gara dilayangkan kad kuning kedua pada aksi pertama di Beirut yang berkesudahan seri 0-0.


“Memang kecewa sebab tak dapat bermain dengan skuad Olimpik menentang Lubnan, tapi saya gembira kerana mereka berjaya membawa Malaysia ke pusingan ketiga.

“Walaupun sekarang saya tak cedera dan bebas daripada penggantungan perlawanan, itu tidak bermakna tempat saya dalam skuad senior sudah terjamin kerana ramai lagi pemain bagus. Saya perlu beraksi lebih baik untuk mendapat kepercayaan jurulatih,” katanya.


Selain Mahali, empat lagi pemain skuad Olimpik iaitu kapten, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Mohd Shas dan K Gurusamy turut dipanggil jurulatih K Rajagobal dalam senarai 28 pemain.


Mahali yang beraksi di posisi pertahanan kanan antara tonggak skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Bagaimanapun kali ini, Mahali terpaksa bersaing dengan pemain Terengganu, Mohd Helmi Remeli yang dilihat begitu menyerlah ketika Malaysia menumpaskan Myanmar 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Kota Bharu Sabtu lalu.


“Saya harap dapat bantu skuad negara menentang Taiwan, sasaran kami mencari bekalan selesa sebelum ke tempat lawan,” kata Mahali.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...