Saturday, June 25, 2011

Malaysia pasukan tunggal rantau ini ke Kelayakan Akhir julang Asia Tenggara

Wan Zack Haikal melepasi pertahanan Lebanon pada perlawanan Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kejayaan skuad negara menumpaskan Lebanon 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 London di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin membuktikan Malaysia bukanlah calang-calang pasukan apabila tersenarai sebagai 12 terbaik peringkat Asia untuk layak ke temasya berprestij itu.

Jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee, berkata permainan pasukan itu semakin matang dan mempunyai komitmen tinggi apabila mampu menahan asakan lawan, walaupun terpaksa bermain dengan hanya sepuluh orang pada awal babak kedua perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang telah dibuktikan oleh setiap pemain dalam mengekang asakan lawan berbaki 40 minit perlawanan.

"Sebagai jurulatih, saya kagum dengan peningkatan corak pemain muda dan ia adalah petunjuk bahawa kita telah bersedia untuk mara ke saingan peringkat ketiga nanti, iaitu pada September ini," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, skuad bimbingan Kim Swee berjaya mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012, dengan kelebihan agregat 2-1.

Pada perlawanan Ahad lepas di Stadium Sport City, Beirut, skuad negara terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan kepada pasukan tuan rumah.

Undian pusingan ketiga dijadualkan pada bulan depan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Kim Swee berkata, kunci utama kejayaan malam ini (kelmarin) adalah disiplin semua pemain yang begitu bersemangat dan berkeyakinan, sehingga dapat memanipulasi perlawanan.

"Walaupun Gary Steven Robbat diarah keluar padang pada awal babak kedua, namun ia tidak menjejaskan corak permainan.

"Saya harap Gary akan mendapat pengajaran bermain dalam perlawanan antarabangsa dan keseluruhan pemain perlu mengambil iktibar dan lebih berhati-hati pada perlawanan pusingan ketiga nanti," katanya.

Skuad negara terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Gary diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua gara-gara mengasari pemain lawan selang enam minit babak kedua bermula.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...