Saturday, June 18, 2011

Misi cari kemenangan penting di Beirut, esok

KUALA LUMPUR - Esok, hidup mati perjuangan skuad Olimpik bakal ditentukan di bumi Beirut sebelum kesimpulan cerita selama 90 minit lagi akan disudahkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis depan.

Di atas kertas, memang tidak boleh dinafikan, skuad Olimpik negara memang bukan pilihan jika mahu dibandingkan dengan Lebanon, namun kekuatan pasukan negara tidaklah terlalu jauh daripada segi kemahiran dan taktikal lawan.

Bukan sedikit persiapan yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap skuad Olimpik negara dengan pendedahan selama dua tahun di Slovakia, di samping mereka telah bersama selama tiga tahun bagi membentuk keserasian tetapi adakah ia bakal memberikan pulangan berbaloi?

Ramai pihak kembali meragui keupayaan anak-anak buah Ong Kim Swee selepas dua perlawanan persahabatan memperlihatkan skuad negara kecundang, 0-1 kepada Kemboja dan 0-4 kepada skuad Olimpik Qatar.

Jangan terlalu cepat mahu membuat andaian yang mengatakan pasukan Malaysia tiada kemampuan menyingkirkan Lebanon pada pusingan kedua kerana kedua-dua negara belum mengenali antara satu sama lain dan perlawanan itu nanti pasti terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana pasukan.

Jika diperhatikan kepada kekuatan skuad Olimpik daripada segenap segi, posisi pertahanan dan tengah seharusnya tidak menjadi masalah kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Mohd. Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, K. Gurusamy, Mohd. Faizal Abu Bakar dan penjaga gol yang memegang peranan selaku kapten, Khairul Fahmi Che Mat perlu membimbing rakan sepasukan dalam mengawal tekanan dan keghairahan semasa melayani asakan Lebanon.

Selain itu, aset kelincahan yang ada pada Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau lebih dikenali sebagai Kecik, Wan Zack Wan Haikal dan Mohd. Fandi Othman amat diharapkan mampu memerangkap pertahanan Lebanon.

Cuma yang tentu sedikit meresahkan peminat Malaysia, adakah barisan serangan Malaysia mampu menterjemahkan peluang ke dalam bentuk gol pada hari esok?

Itulah yang menjadi persoalan besar jika aksi dua perlawanan persahabatan terakhir dijadikan penilaian.

Malahan, Kim Swee sendiri mengakui anak-anak buahnya perlu belajar daripada pengalaman menentang Qatar sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...