Friday, June 24, 2011

Perak tidak perlu Razali

TIADA jalan kembali buat pemain kontroversi, Razali Umar Kandasamy ke dalam pasukan Perak biarpun Seladang menghadapi masalah kekurangan penyerang berikutan pembedahan bahu ayam tambatan, Akmal Rizal Ahmad Rakhili, Isnin lalu yang menyaksikan pemain itu terpaksa berehat enam hingga tujuh minggu.

Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun menegaskan setakat ini tindakan menamatkan kontrak pemain itu yang diumum Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin adalah muktamad.

Pafa menamatkan kontrak Razali mulai 1 Jun kerana mengulangi tabiat ponteng latihan buat kali ketiga walaupun sudah diberi peluang dalam dua insiden sebelum ini.

“Tidak timbul soal menerima kembali Razali ketika ini. Kita masih ada pemain lain yang komited terhadap tugasan dan tanggungjawab. Pafa tidak mahu terkena lagi,” katanya.

Khairul berkata, Akmal Rizal yang menjalani pembedahan bahu kanan sempat pulih untuk memberikan khidmatnya dalam saingan Piala Malaysia yang bermula September ini.

“Perak ada perancangan lain bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi kempen Piala Malaysia. Apapun fokus ketika ini ialah untuk menghadapi perlawanan terakhir liga bertemu Selangor di Ipoh pada 7 Julai.

“Perlawanan ini penting buat Perak kerana akan menentukan kedudukan liga. Saya mahu setiap pemain menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan ini agar impian mengutip mata penuh akan menjadi kenyataan.

“Kami mahu menutup tirai kejohanan dengan nota kemenangan. Tambahan pula dari perkiraan matematik, Perak berpeluang menamatkan cabaran di tempat keempat,” katanya selepas mengadakan program pertemuan bulanan dengan pasukan Seladang di Yayasan Bina Upaya (YBU), Selasa lalu.

Beliau yang juga Bendahari Pafa berkata, berikutan penangguhan liga itu, Perak akan meneruskan jelajah daerah dengan berkunjung ke Daerah Grik, esok untuk memberi peluang kepada peminat tempatan mengenali pasukan selain melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di daerah itu.

Katanya, Perak juga berusaha mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat lawan pada Isnin atau Selasa ini.

Menurutnya selain Grik, skuad Seladang juga bercadang mengadakan lawatan ke dua lagi daerah iaitu Tanjung Malim dan Parit dalam tempoh terdekat bagi memenuhi permintaan peminat di dua daerah itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...