Monday, June 20, 2011

Semangat Shakir membara

PEMAIN tengah Kelantan, Mohd Shakir Shaari yang pertama kali diberi peluang menyarung jersi kebangsaan tidak mahu dibuai kelekaan dengan kemenangan ke atas Mynmar sebaliknya berjanji menampilkan persembahan terbaik sekiranya terus diberi kepercayaan oleh jurulatih, Datuk K Rajagobal. 

Menurutnya, kemenangan pada aksi sulung bersama skuad Harimau Malaya ketika membenam Myanmar 2-0 kelmarin menyuntik semangatnya untuk terus disenaraikan dalam skuad kebangsaan yang akan melayan kunjungan Taiwan pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, hujung bulan ini. 

“Kemenangan ini adalah permulaan baik lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kota Bharu. Saya sudah berikan yang terbaik selebihnya terpulang kepada jurulatih membuat penilaiannya. 

“Memang perasaan sedikit gemuruh ketika mula-mula beraksi namun semua itu lenyap selepas itu. Saya kini dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan mereka, maklumlah saya hanya baru beberapa hari bersama mereka,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Amirulhadi Zainal menganggap gol pertama hasil jaringannya menjadi pencetus skuad Harimau Malaya menumbangkan Myanmar dalam perlawanan tersebut. 

“Alhamdulillah kita masih boleh beraksi dengan baik sekalipun dalam keadaan padang becak. Gol pertama tersebut ternyata berjaya menaikkan moral rakan sepasukan setelah kita diasak hebat oleh pemain Myanmar pada awal permainan. 

“Semua pemain dapat mengatasi tekanan apabila beraksi dalam situasi tersebut. Saya fikir ini merupakan satu yang positif dalam kita menyiapkan pasukan menghadapi Taiwan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...