Wednesday, July 27, 2011

60,000 tiket habis terjual

Sekumpulan peminat menunjukkan tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dan SIngapura esok, yang berjaya dibeli di kaunter khas di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

Sejumlah 60,000 tiket untuk perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia antara Malaysia menentang Singapura esok yang dijual pada hari pertama di tiga venue semalam, habis terjual.

Sambutan luar biasa penyokong tempatan untuk menyaksikan perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil itu juga tidak dijangka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S.Sivasundram berkata, kesemua 60,000 tiket tersebut habis dijual pada pukul 5 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Shah Alam dan Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Katanya, baki 25,000 keping akan dijual di tiga venue yang sama, hari ini.

"Di Bukit Jalil esok (hari ini) sebanyak 12,500 tiket akan dijual manakala di Shah Alam dan MBPJ masing-masing 6,250 tiket.

"Peminat yang mahu mendapatkan tiket boleh datang seawal pukul 9 pagi. Kami mohon maaf kepada mereka yang tidak dapat membeli hari ini kerana sambutannya di luar jangkaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambah Sivasundram, FAM enggan menjual kesemua 85,000 tiket pada hari pertama semalam, kerana tidak mahu memungkiri janji untuk menjualnya dua hari sebelum perlawanan.

"Saya difahamkan di Stadium Nasional, tiket habis dijual sewal 3.30 petang, manakala di dua lagi venue pada pukul 5 petang.

"Saya tahu ramai kecewa kerana gagal mendapatkan tiket hari ini (semalam), tetapi jangan risau, masih ada lagi tiket yang belum dijual dan peminat boleh membeli tiket esok (hari ini)," jelas Sivasundram.

Sementara itu difahamkan berlaku sedikit kekecohan di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil apabila kira-kira 200 orang gagal membeli tiket kerana habis dijual.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...