Tuesday, July 26, 2011

Aidil Zafuan bersedia diturunkan

KUALA LUMPUR - Bakal pengganti Safiq Rahim sebagai ketua pasukan dalam skuad kebangsaan menjelang perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura Khamis ini semakin terjawab apabila Aidil Zafuan Abd. Radzak menyatakan kesediaan untuk beraksi semula.

Menurut Aidil, dia sudah bersemangat untuk beraksi sejak Sabtu lalu, selepas diberitahu akan diturunkan tetapi nasibnya tidak baik apabila kecederaannya berulang semula sehari sebelum perlawanan tersebut.

"Saya dinasihatkan oleh fisioterapi supaya berehat dan tidak diturunkan. Sebelum itu saya sangat bersemangat untuk beraksi tetapi sekarang ini juga saya tetap bersemangat dan harap 100 peratus sembuh menjelang Khamis ini," katanya selepas latihan, semalam.

Bagaimanapun Aidil sendiri tidak terfikir sama ada dia akan diberi tanggungjawab dan beraksi Khamis ini, namun jika diturunkan dia hanya fokus untuk membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan.

"Siapa yang bakal menjadi ketua pasukan tidak penting tetapi semua pemain perlu bersedia supaya beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut, terutama sekali memberi perhatian kepada pemain naturalisasi Singapura.

"Tumpuan yang lebih harus diberikan kepada pemain seperti Aleksandar Duric yang saya anggap sebagai pemain yang berbahaya kerana beberapa kali pernah bertembung dengannya sebelum ini termasuk ketika di peringkat kelab," katanya.

Aidil berkata, tidak ada yang istimewa buat pemain Singapura yang lain kecuali pemain naturalisasi mereka, malah dia yakin kelebihan masih terletak kepada Malaysia walaupun tewas perlawanan pertama 3-5.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...