Saturday, July 23, 2011

Avramovic tidak letak harapan terlalu tinggi

SINGAPURA - Gerak bahasa tubuh pengendali Singapura, Radjoka Avramovic pada sidang media menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, semalam jelas dia bagaikan tidak berminat mengulas pertanyaan pemberita.

Mungkin bermain psikologi dengan lawan atau menyembunyikan kegelisahan untuk berdepan Malaysia yang selaku juara Piala AFF 2010, wajah Avramovic jelas tidak terlalu ceria jika hendak dibandingkan dengan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal yang lebih berseri menjawab soalan pemberita tuan rumah, Singapura dan Malaysia.

Tidak banyak perkara yang diulas oleh jurulatih yang berasal dari Serbia itu, namun dia mengakui perlawanan menentang Malaysia cukup istimewa .

''Cara kami melayan perlawanan ini sama sahaja seperti kami menghadapi pasukan lain, namun saya tidak menafikan perlawanan dengan Malaysia mendapat banyak perhatian.

''Walaupun begitu, kami akan bermain secara normal dan kedua-dua pasukan tidak boleh lari daripada tekanan untuk mencari kemenangan.

''Saya sama sekali tidak akan meletakkan harapan terlalu tinggi mengalahkan Malaysia

''Namun, berdepan pasukan Malaysia memang satu perkara yang menggembirakan kerana perlawanan seperti ini mampu meningkatkan mutu kedua-dua pasukan bagi jangka masa panjang bagi mendapat kedudukan yang lebih baik di Asia, saya harapkan pada masa depan kita boleh bertemu lagi," katanya semalam.

Dalam sesi soal jawab itu juga Avramovic enggan mengulas pertanyaan pemberita tentang pendapat anak buahnya, Daniel Bennett bahawa skuad Singapura sekarang adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan berbanding tahun 2008 dan berkemampuan layak ke Piala Dunia 2014.

Avramovic sebaliknya berkata, dia berasakan tidak adil untuk membandingkan kekuatan pasukan yang ada pada masa sekarang dengan sebelum in," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...