Monday, July 18, 2011

Benteng pertahanan perlu dibaiki

KUALA LUMPUR - Taring sudah sedia menggigit, namun kuku masih belum tajam untuk menahan serangan.

Itu mungkin gambaran sesuai buat skuad Harimau Malaya yang masih mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan sehingga mendapat perhatian ramai pihak selepas perlawanan persahabatan Jelajah Asia menentang dua kelab Liga Perdana England Arsenal dan Liverpool.

Bagi jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan kesilapan kecil yang dilakukan pemain pertahanan masih lagi berulang sehingga membolehkan pasukan lawan mudah mendapatkan jaringan.

Katanya, kesilapan kecil dalam kotak penalti yang mampu memberikan gol percuma kepada pihak lawan sewajarnya dihindari sebelum menentang Singapura dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.

''Bahagian serangan sudah cukup baik apabila berupaya mendapatkan gol melalui Safee Sali, namun kesilapan mudah yang mampu mengundang padah harus dielakkan pemain.

''Saya dapat rasakan bahawa jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah menilai perkara tersebut dan akan melakukan sesuatu ketika menghadapi perlawanan penting menentang Singapura,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berpendapat, aksi skuad kebangsaan wajar dipuji kerana mempamerkan peningkatan cemerlang terutama di bahagian serangan dan tengah.

''Secara keseluruhannya saya gembira dengan aksi Malaysia semalam (kelmarin) terutama selepas beberapa hari menentang Arsenal.

''Berhubung kelemahan di bahagian pertahanan saya cuma menggangap mereka ini masih belum banyak memperoleh pengalaman, namun itu semua dapat diperbaiki kerana pemain kita masih muda lagi,'' kata Dollah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz ketika ditemui berkata, skuad kebangsaan diramal mampu mengekang asakan Singapura sekali pun pasukan negara jiran itu menerima suntikan Awang import.

''Skuad Harimau Malaya telah diberi pendedahan sewajarnya di peringkat antarabangsa terutama dalam berhadapan dengan pemain dari Eropah dan saya berasakan para pemain kita tidak menghadapi masalah untuk menghadapi Singapura,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...