Thursday, July 21, 2011

Joseph, Daudsu tidak rela

KUALA LUMPUR - Namanya di kalangan penyokong setia Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi, malah dia dianggap antara arkitek kebangkitan skuad Penyu pada musim ini terutamanya selepas memenangi Piala FA.

Kreativitinya membuka ruang kepada barisan penggempur di samping mempunyai hantaran silang berkualiti menjadi aset buat pemain berusia 24 tahun ini menjadi sebutan di kalangan pengikut bola sepak tempatan.

Namun, pemuda yang berasal dari Sarawak dari suku kaum Kenyah ini ternyata belum dapat menambat hati pengendali skuad negara, Datuk K. Rajagobal untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

Akhirnya peluang yang amat ditunggu oleh Joseph Kallang menjadi kenyataan walaupun individu yang memanggilnya bukanlah Rajagobal, sebaliknya jurulatih skuad Olimpik dan Harimau Muda, Ong Kim Swee bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Chelsea.

Sambil menyifatkan ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan, dia mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Kim Swee.

''Terus terang saya tidak menyangka mendapat peluang sebegini, sudah lama saya impikan menyarung jersi negara, ia adalah impian buat mana-mana pemain.

''Walaupun ramai yang memberikan sokongan kepada saya untuk beraksi bersama skuad negara tetapi rezeki belum berpihak kepada saya.

''Jadi, apabila mendapat peluang sebegini, sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang mahu membuktikan apa yang saya boleh lakukan pada perlawanan dengan Chelsea nanti serta membalas sokongan yang diberikan oleh peminat,'' katanya yang ditemui selepas sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dia merupakan salah seorang daripada sembilan pemain senior yang dipanggil Kim Swee untuk digandingkan dengan 13 pemain skuad Olimpik pada perlawanan dengan The Bluesmalam ini.

Tambah Joseph, dia sama sekali tidak gentar dengan reputasi besar Chelsea kerana apa yang penting dia mahu memberikan yang terbaik demi menjaga maruah negara.

''Saya mahu bermain baik pada malam esok (hari ini) dan membuka ruang kepada rakan sepasukan mendapatkan gol dan paling penting, kita mampu memberikan saingan," katanya.

Sementara itu, Daudsu Jamaluddin, yang mempunyai pengalaman menentang Chelsea pada tahun 2008, menyifatkan skuad kali ini jauh berbeza dengan sebelum ini.

''Chelsea kini di bawah pengurus baru, Andre Villas-Boas, jadi tidak boleh dibandingkan dengan masa kali terakhir kami berjumpa dahulu.

''Walaupun ada pemain yang masih kekal, gaya permainan mereka sudah tentu berbeza,'' yang mengakui faktor gugup tidak boleh diketepikan semasa berdepan Chelsea nanti memandangkan mereka bakal berhadapan dengan skuad yang mempunyai ramai berkelas dunia.

Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Shah Alam pada tahun 2008, skuad negara tewas 0-2.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...